SEBELUM ini, kita teruja apabila memperkatakan tentang tindakan boikot terhadap produk keluaran Israel. Tindakan tersebut dibuat sebagai tindak balas kekejaman Israel terhadap Palestin dan ia berjaya memberi kesan apabila produk terbabit tidak lagi mendapat sambutan di pasaran.
Dalam masa sama, banyak pandangan dan syor diutarakan di sebalik tindakan tersebut agar ia tidak dilaksanakan secara terburu-buru sehingga mewujudkan kekeliruan.
Malah ada juga yang sinis apabila memperkatakan tentang boikot sehingga disifatkan sebagai ‘hangat-hangat tahi ayam’.
Situasi ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini seperti mengiyakan pandangan sinis tersebut apabila restoran makanan segera yang dikaitkan Israel kembali dipenuhi pelanggan.
Pelbagai pandangan diberikan dan paling mendukacitakan, timbul pula perbalahan sehingga ada ‘menganjingkan’ mereka. Ini sekali gus menimbulkan persoalan sama ada dibenarkan atau tidak apabila menyamakan individu yang kembali membeli produk keluaran Israel dengan anjing.
Muhammad Azki Hafizi Ibrahim
Asal: Alor Setar, Kedah
Umur: 49 Tahun
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Undang-undang Universiti Al-Azhar Mesir dan Ijazah Kaunseling Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS)
Jawatan terkini: Pendakwah bebas dan Ahli Jawatankuasa Pusat Dakwah Kedah.
Bagi pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Azki Hafiz Ibrahim, terdapat dua situasi dalam penggunaan perkataan tersebut.
“Perkataan anjing itu timbul selepas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyifatkan mereka yang memboikot ibarat anjing yang kembali kepada tuannya ketika lapar.
“Jadi, apabila ada memberi gelaran anjing kepada mereka yang tidak lagi memboikot, ia merupakan tanzir iaitu satu peringatan dan ia dibolehkan,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Tambah Muhammad Azki Hafiz, apa yang membimbangkan sekiranya gelaran tersebut bertujuan untuk menghina, memberi aib dan menjatuhkan maruah. Perkara ini tidak dibenarkan dan dilarang dalam Islam.
Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan boikot perlu melibatkan ilmu, akhlak serta pertimbangan keperluan asas harian agar tidak mendatangkan kemudaratan yang tidak perlu serta memelihara maruah agama Islam.
“Kalau sampai ada yang mahu melempar bom, itu tidak betul. Jangan ada tindakan yang menampakkan Islam itu buruk dan ganas.
“Malah, dalam isu boikot ini pun ada pengecualian terutama apabila membabitkan barangan keperluan asas,” katanya.
Beliau pada masa sama turut menjelaskan, berhubung isu hukum memboikot, ia perlu kembali kepada keadaan dan suasana.
“Boikot menjadi wajib apabila ia bertujuan melemahkan musuh Islam yang kini menindas penduduk Palestin,” jelasnya. –UTUSAN










