PAPARAN gambar saf jamaah wanita yang tidak tersusun dalam media sosial baru-baru ini mencetuskan pelbagai polemik dan pandangan dalam kalangan umat Islam di negara ini.
Malah, timbul pelbagai teori sehingga ada yang mengaitkan ia dengan isu karakter dan perwatakan kaum wanita sehingga terbawa-bawa dalam solat.
Walau apa pun yang pasti kedudukan saf ketika solat jaamah perlu dan dijagaamat dititik beratkan.
Menurut Ustaz Muhamad Yusrizal Yushar, umat Islam dituntut merapatkan saf ketika menunaikan solat berjemaah termasuk solat Tarawih supaya mendapat ganjaran pahala berlipat ganda.
Malah katanya, tuntutan tersebut tidak boleh diabaikan kecuali dalam keadaan terpaksa dan mengikut situasi tertentu sebagaimana sewaktu penularan wabak Covid-19 dahulu.
Namun begitu, kata Muhamad Yusrizal, ia tidak menjejaskan syarat sah solat seseorang walaupun kedudukan antara imam dan makmum tidak tersusun dalam satu ruang dalam masjid.
“Ia tidaklah sampai membatalkan solat. Cuma membetulkan kedudukan dan merapatkan saf itu pun ada pahala. Malah, kalau ada kanak-kanak dalam satu barisan saf dan ia putus-putus, memang tidak dapat pahala saf.
“Keadaan sama juga berlaku apabila ada jemaah di saf depan masih tidak penuh, kemudian ada jemaah yang terus buat baris yang baharu di bahagian belakang saf tadi. Jadi, jemaah tersebut tidak mendapat pahala merapatkan saf ketika solat berjemaah,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Dalam pada itu Muhamad Yusrizal berkata, daripada segi hukum, selagi mana seseorang itu sembahyang dalam masjid dan masih mengikut imam walaupun pada kedudukannya yang jauh, solatnya masih sah.
“Kalau imam berada di hujung penjuru kanan dan makmum di penjuru paling belakang sebelah kiri pun masih sah solat. Sebabnya masih dalam ruangan solat.
“Cuma kurangnya di mana? Pahala saf itu yang tidak dapat,” jelasnya.
Sementara itu, Muhamad Yusrizal berkata, punca kepada saf yang berterabur dan tidak tersusun disebabkan kejahilan dan ia sesuatu yang merugikan.
Muhamad Yusrizal yang juga mengulas mengenai saf solat Jumaat berkata, jarak antara makmum dan imam perlu dijaga dan tidak boleh terputus mengikut jarak tertentu.
“Contohnya begini. Kalau masjid penuh dan ada makmum terpaksa solat Jumaat di luar masjid.
“Maka jarak antara imam dan makmum atau makmum yang berada dalam masjid serta makmum di luar masjid tidak boleh melebihi 150 meter atau 300 hasta,”jelasnya.
Beliau pada masa sama berharap agar umat Islam peka dan mengambil berat dalam hal berkaitan solat daripada sekecil-kecil sehingga sebesar-besar perkara.
Katanya, setiap perbuatan yang diberikan ganjaran pahala daripada Allah SWT sepatutnya direbut dan bukan dipersia-siakan. -UTUSAN










