Jadikan ulama tempat rujukan - Utusan Malaysia

Jadikan ulama tempat rujukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM Islam, ilmu berada di kedudukan tinggi yang terbukti menerusi wahyu kepada Rasulullah SAW yang diperintahkan mempelajari ilmu dan menitikberatkan pembelajaran dalam kehidupan.
Firman Allah dalam surah al-’Alaq, ayat 1 hingga 5 yang bermaksud: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”
Dalam hal ini, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya ilmu itu adalah dengan mempelajarinya dan fiqh itu dengan tafaqquh (memahaminya).”
Namun hari ini dapat dilihat segelintir masyarakat terutama golongan muda lebih cenderung mendalami ilmu termasuk agama melalui atas talian yang mudah diakses di hujung jari seiring dengan kemajuan teknologi.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Dr. Engku Ahmad Zaki Engku Alwi berkata, situasi itu bagaimanapun ada baik buruknya.
Menurut beliau, dari sudut keberkatan sebaiknya bertalaqqi atau bersemuka dengan guru kerana dengan cara itu kita mendapat keberkatan dan tidak tersalah faham maksud sebenar yang ingin disampaikan.
Katanya, menjadikan platform media sosial sebagai sumber ilmu dianggap kurang berkesan kerana ia tidak bersifat direct atau terus sekaligus tiada interaksi dua hala yang efektif antara pemberi dan penuntut ilmu.
“Justeru, bagi seseorang yang mungkin baru atau sedang mendalami ilmu agama, mungkin sukar mendapat penjelasan lebih lanjut mengenai sesuatu perkara malah
boleh terkeliru dengan pelbagai pendapat berbeza.
“Jika tersalah faham atau ragu-ragu dengan sesuatu perkara itu, seseorang mungkin mengambil maklumat yang menyeleweng daripada kefahaman Islam sebenar tanpa merujuk kepada sumber ilmu yang sahih atau tepat.
“Yang terbaik adalah sebelum menggunakan media sebagai wahana ilmu, kita terlebih dahulu perlu mengenali wibawa ilmu yang sebenar dalam Islam dengan bertanya kepada guru-guru yang mendalam ilmunya,” jelas beliau.
Engku Ahmad Zaki berpendapat, wajarlah golongan ulama dijadikan tempat rujukan bagi menjawab kekeliruan atau kemusykilan sesuatu persoalan kehidupan yang dihadapi umat Islam hari ini.
Jelas beliau, ini selaras dengan perintah Allah agar kita bertanya orang yang lebih berpengetahuan sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Maka bertanyalah kamu kepada orang yang mengetahui kitab-kitab Allah jika kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Anbiya’, ayat 7)
Justeru, setiap Muslim hendaklah merujuk terlebih dahulu kepada ulama dalam sebarang persoalan hidup sama ada persoalan duniawi mahupun ukhrawi.
Di Malaysia, ulama merujuk kepada orang alim yang ditauliahkan kerajaan, pihak berwajib agama dan masyarakat Islam untuk menjalankan tugas-tugas seperti penasihat agama, mufti, timbalan mufti, kadi besar, kadi daerah, imam dan ustaz lepasan daripada institusi pengajian Islam.
“Golongan ini sebenarnya memikul tugas besar untuk menyumbang ke arah meningkatkan kesedaran masyarakat kepada penghayatan Islam di samping menggembleng tenaga ke arah mewujudkan keharmonian dalam kalangan rakyat.
“Umat Islam juga perlu faham mufti bukan sekadar dengan fatwanya, kadi tidak hanya terhad di Mahkamah Syariah, imam tidak hanya terbatas di masjid dan ustaz pula bukan hanya di sekolah, malah peranan mereka amat penting dalam mengawal keharmonian masyarakat Islam,” katanya.

Prof. Dr. Engku Ahmad Zaki 
Engku Alwi
Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Kelayakan akademik:
Doktor Falsafah (PhD) Akidah dan Pemikiran Islam, Universiti Malaya
Sarjana Ilmu Wahyu dan Warisan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
 Sarjana Muda Usuluddin (Tafsir), Universiti Al-Azhar

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya