Teruskan berdoa untuk Palestin - Utusan Malaysia

Teruskan berdoa untuk Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA sentiasa dekat di hati Shaari Mokri, kerana pernah menjejakkan kaki ke bumi Palestin ketika menimba ilmu agama bersama bapa saudaranya sekitar tahun 1960-an.
Lantaran itu, konflik terbaharu antara rakyat Palestin dan penjajah Israel yang menyebabkan banyak penduduk Gaza menjadi korban, dapat dirasai oleh Shaari, seorang agamawan yang disegani dan menjadi rujukan penduduk sekitar Sungai Manik di Pasir Salak di Perak dalam perkara berkaitan agama.
Bagi Shaari umat Islam di seluruh dunia wajar menzahirkan rasa simpati terhadap kesengsaraan yang dialami rakyat Palestin dan jangan pernah putus mendoakan kemenangan buat umat Islam di sana.
“Saya pernah ke Gaza sekitar tahun 60-an bersama bapa saudara ketika belajar agama di bumi Palestin. Walaupun sudah lama namun gambaran suasana di Gaza masih segar dalam ingatan.
“Konflik Palestin dan Israel bukanlah suatu perkara baharu, malah sejak dari penubuhan negara haram Israel konflik tersebut sudah berlaku.
“Sepanjang tempoh itu juga kita dapat melihat betapa sengsaranya umat Islam saudara kita di sana. Kita mungkin tidak dapat mengangkat senjata untuk membantu mereka tetapi kita boleh membantu dengan memberikan sumbangan moral.
“Paling penting teruskanlah berdoa untuk mereka agar kemenangan memihak kepada saudara kita di Gaza,” katanya.
Shaari merupakan anak kelahiran Kuala Kangsar, Beliau menunjukkan minat dalam bidang agama sejak usia awal belasan tahun lagi dan mula belajar ilmu agama di Pondok Al-Ulum Al-Syari’yyah, Batu 20, Bagan Pasir di Bagan Datuk, Perak pada tahun 1950-an.
Shaari kemudiannya mendalami ilmu agama dalam pelbagai bidang seperti tasawuf, fardu ain, akidah, makrifat dan fikah di beberapa lagi pondok di beberapa tempat termasuk hingga ke Gaza sekitar tahun 1960-an.
Dia kemudiannya menjadi antara pengajar di Pondok Al-Ulum Al-Syari’yyah.
Begitupun, dia tidak melupakan cabaran dan kesukaran semasa belajar agama pada waktu itu apabila terpaksa merantau ke banyak tempat mencari guru agama di pondok pengajian.
“Keadaan pada masa itu tidak seperti hari ini yang segala-galanya mudah terutama sistem pengangkutan awam.
“Kalau dulu hendak ke satu-satu tempat memang sukar, susah nak mendapatkan pengangkutan awam, kadang kala mengambil masa berhari-hari untuk sampai ke satu-satu tempat yang hendak dituju.
“Berlapar dan dahaga, keletihan antara cabaran yang saya dan rakan-rakan tempuhi semasa menimba ilmu agama. Namun itu semua kami tempuhi demi menambahkan ilmu agama dan akhirnya mahu mendidik dan membimbing masyarakat.
“Bersabar dan bertakwa menjadi pegangan yang menguatkan semangat kami ketika mencari ilmu agama,” katanya.
Shaari yang menjadi tempat rujukan hal berkaitan agama dalam penduduk kampung berkata, dia bersyukur kerana dapat berbakti kepada masyarakat menerusi ilmu agama yang dipelajari.
“Saya melihat masyarakat hari ini peka dalam hal ehwal agama, mereka sentiasa mengambil berat soal agama dalam kehidupan seharian mereka.
“Mereka sering bertanya pada saya mengenai pelbagai perkara dari segi hukum sesuatu perkara, saya bersyukur kerana diberikan kesempatan oleh Allah untuk menyebarkan ilmu agama,” katanya.
Dalam usianya yang sudah mencecah 96 tahun, Saarani mengakui ramai yang bertanyakan petua sihat di usia lanjut sepertinya.
Shaari, yang merupakan bekas guru silat berkata, tiada sebarang rahsia atau amalan tertentu yang diamalkan selain bersangka baik sesama manusia dan tidak kedekut ilmu.
“Alhamdulillah saya masih diberikan Allah untuk bernafas dan sihat berkat.
“Tiada amalan atau petua hanya menjaga solat lima waktu, amalkan tidur awal dan bangun subuh, mengaji al-Quran setiap hari,” katanya. – MINGGUAN MALAYSIA

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.