APLIKASI TikTok menjadi platform pilihan Timbalan Pengerusi Persatuan Cina Muslim Ipoh, Mohammad Hafiz Ng Abdullah, 57, untuk berdakwah.
Memeluk Islam pada usia semuda 19 tahun ketika belajar di Tingkatan Enam, Mohammad Hafiz yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Masjid Muhammadiah atau Masjid Cina di Tasek, Ipoh baru dua bulan mempunyai akaun TikTok dan tidak menyangka dalam tempoh singkat itu berjaya mengumpul lebih 20,000 pengikut.
Beliau juga semakin dikenali sehingga ada yang menggelarnya ‘ustaz TikTok.’
Selepas mempunyai akaun TikTok, beliau dapat merasakan kerja dakwah yang dijalankannya menjadi lebih mudah dan berkesan.
“Saya guna TikTok sebagai platform dakwah, sebab sekarang semua orang ke arah media sosial, apabila berdakwah di media sosial, satu Malaysia boleh tonton. Saya cuba sampaikan dakwah mengenai Islam dengan cara ringkas tetapi padat, sebab itu TikTok penting.
“Dahulu saya berdakwah menerusi Facebook dan Youtube tapi sekarang orang asyik bercakap mengenai TikTok, jadi saya lebih aktif di TikTok.
“Berdakwah melalui TikTok lebih mudah untuk disampaikan, video yang saya buat pun pendek sahaja, straight to the point,” katanya.
Berkongsi pengalaman berdakwah melalui TikTok, Mohammad Hafiz Ng berkata, topik pilihan yang sering dikongsi beliau adalah mengenai kisahnya memeluk Islam.
Katanya, topik itu paling mendapat sambutan sehingga video kisah beliau memeluk Islam itu mendapat tontonan paling tinggi setakat ini iaitu lebih 300,000 tontonan.
“Kenapa saya pilih Islam? Itu konten di TikTok yang paling banyak ditonton. Video itu juga paling banyak orang komen atau respons.
“Video itu juga menarik perhatian bukan Islam sehingga ada yang menghantar mesej kepada saya, mereka mahu mendalami Islam.
“ Ramai bukan Islam ingin tahu tentang Islam sehingga ada yang mahu datang berjumpa saya. Ini bermakna TikTok berkesan dalam kerja dakwah,” katanya.
Katanya, dia juga menggunakan TikTok untuk memperjelaskan salah faham besar dalam kalangan bukan Islam mengenai agama ini antaranya memeluk Islam bermakna masuk Melayu, masuk Islam kena tukar nama dan kalau masuk Islam tak boleh amalkan budaya Cina.
“Ada juga mengkritik dakwah saya tapi tak perlu marah, sebab mereka tidak faham tentang Islam. Kalau ada yang marah saya cakap baik-baik, kalau tak mampu cakap, saya diam,” katanya.
Menurutnya, kisah beliau memeluk Islam mendapat tontonan ramai mungkin disebabkan beliau memeluk Islam bukan disebabkan faktor berkawan dengan orang Melayu atau mempunyai teman wanita Melayu.
“Saya tiada kawan Melayu, apatah lagi nak mempunyai teman wanita Melayu. Namun hidayah datang ketika saya masih bersekolah.
“Ketika itu saya agak nakal, namun hati rasa tidak tenteram sehinggalah pada suatu hari saya ternampak senaskah al-Quran di rumah kawan saya iaitu anak kepada seorang mualaf dan sejak itu saya mengkaji al-Quran sehinggalah saya membuat keputusan mengucap dua kalimah syahadah semasa berusia 19 tahun,” katanya.
Selepas memeluk Islam, beliau mendalami pengetahuan agama di Institut Dakwah Islamiah Perkim di Kelantan dan bekerja di Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
“Tugas utama saya di JAIPk adalah menjaga kebajikan dan membimbing mualaf, merancang program untuk mulaaf dan bukan Islam.
“Berdakwah adalah perintah Allah, saya merasakan keseronokan apabila berdakwah, sebab itu sampai hari ini saya tak putus-putus jalankan kerja dakwah, sampai mati pun saya akan berdakwah,” katanya. – Mingguan Malaysia
Guna TikTok untuk sampaikan dakwah
- Oleh SAYED HESHAM IDRIS
- 10 September 2023, 4:35 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ops Favish: Ada transaksi mencurigakan selepas 60 kotak dokumen kewangan diperiksa
7 November 2024, 11:36 pm
Enam anggota Malbatt 850-12 di serang Israel
7 November 2024, 11:12 pm
Kenderaan pengangkut perisai ATM terlibat nahas dalam perjalanan ke Gemas
7 November 2024, 11:07 pm