Anak muda, jom lah ke masjid

Anak muda, jom lah ke masjid

Ustaz Md. Fikri Mohd. Hussain bergambar di kedai makannya Warung Iman Muda di Kampung Jalan Kebun, Shah Alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMADAN adalah bulan untuk kita beramai-ramai memeriahkan masjid dan surau bagi mendapat ganjaran pahala berlipat kali ganda.

Bagi umat Islam, Ramadan adalah bulan dinanti-nantikan dan diraikan dengan gembira, dan apabila ia berakhir hati mereka mula berasa nestapa.

Menurut Imam Masjid Al-Falah Jalan Kebun, Ustaz Md. Fikri Mohd.Hussain, 39, Ramadan adalah bulan tarbiyah untuk kita melatih diri untuk sentiasa tawaduk dalam beribadah tidak kira untuk amalan wajib malahan amalan sunat.

“Jika hendak mendidik anak-anak muda agar lebih menghayati ajaran Islam inilah bulannya.

“Bulan Ramadan, umat Islam sepatutnya menyibukkan diri dengan amalan bukannya menumpukan perhatian sepenuhnya kepada perniagaan misalnya, hingga menyebabkan kerugian di akhirat kelak,” katanya ketika ditemui di Jalan Kebun, Klang baru-baru ini.

Ustaz Md.Fikri yang memulakan pendidikan Islam di peringkat sekolah rendah di Sekolah Rendah Jalan Kebun kira-kira 32 tahun lalu berkata, melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

Beliau yang melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Hishammuddin Sungai Bertik Klang dan Sekolah Menengah Agama Tinggi A’liyah Yogjakarta Indonesia dan menyambung pengajian tahfiz di sekolah yang sama berkata, anak-anak kita perlu diasuh untuk solat berjemaah di masjid atau surau.

“Ramadan adalah bulan yang terbaik untuk mendidik anak-anak muda berusia seawal 5 hingga 17 tahun berbuka puasa dan mengerjakan solat tarawih 20 rakaat.

“Saya sendiri belajar agama dari usia muda dan mengembara ke negara seberang meninggalkan keluarga. Semua perkara memerlukan pengorbanan dan itu yang saya lakukan kira-kira 20 tahun lalu,”katanya.

Md. Fikri yang merupakan anak kepada bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Kebun, Allahyarham Mohd. Hussain Mohd.Noor dan suri rumah, Siti Misnah Waris,78, itu berkata, dia mula menjadi pembantu Imam pada usia 23 tahun sebelum menjadi Imam Penuh dua tahun selepas itu di Surau Al Falah yang kemudiannya dinaiktaraf menjadi Masjid Al-Falah.

Jelasnya lagi, sebagai Imam muda di surau tersebut, pada awalnya beliau menerima pelbagai kritikan daripada aspek pelaksanaan solat, bacaan dan rukun-rukun dalam solat.

“Setiap teguran saya terima dengan baik, terutama daripada ilmuwan dan Imam terdahulu kerana sebagai orang muda kita perlu menghormati orang yang lebih berpengalaman.

“Kita sememangnya menuntut ilmu agama seperti ilmuwan lain tetapi ada ilmu yang kita tidak miliki seperti ilmuwan tersebut.

“Jadi kita terima dengan reda agar tidak menjadi masalah kemudian hari,”ujarnya.

Mengulas mengenai kerjaya selain menjadi Imam, beliau memaklumkan pernah bekerja dengan sebuah bank selama lapan tahun dan bersara kira-kira tujuh tahun lalu setelah menceburi bidang perniagaan makanan.

Tambahnya, beliau berpuas hati kerana telah mewujudkan pengajian Islam berkala untuk kakitangan bank tersebut dan sehingga kini modul yang diwujudkannya masih digunakan oleh pentadbiran bank tersebut.

“Kini semua tinggal kenangan, sekarang sayai mengusahakan perniagaan makanan Warung Imam Muda di samping terus menjadi Imam Masjid Al-Falah.

“Demi memeriahkan warung tersebut dengan hiburan Islam, saya memasang lagu nasyid dan bacaan zikir sebagai halwa telinga pelanggan pelbagai bangsa dan agama,”ujarnya.

Mengulas isu tauliah yang agak panas sejak kebelakangan ini Md. Fikri berkata, ia perlu dimiliki bagi memudahkan guru-guru agama memberi kuliah tanpa sebarang halangan.

Katanya lagi, beliau hanya mempunyai tauliah sebagai Imam dan tauliah mengajar untuk kawasan kampung tersebut sahaja.

“Ia sudah memadai untuk diri saya yang sentiasa sibuk dengan tugas sebagai Imam dan usahawan.

“Apa yang penting saya mempunyai masa dengan keluarga iaitu isteri, dua anak perempuan yang masih kecil dan ibu saya, di samping perlu menjadi Imam di Masjid Al-Falah selagi khidmat saya diperlukan,” terangnya. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.