Tertib memilih pemimpin - Utusan Malaysia

Tertib memilih pemimpin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPIMPINAN adalah salah satu aspek yang amat penting dalam siasah Islam. Justeru, kewajipan memilih pemimpin mestilah bersandarkan kepada tuntutan al-Quran dan al-hadis.
Bab ini penting untuk memandu umat Islam dalam menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin terbaik yang akan membawa kebaikan kepada agama, masyarakat, negara dan umat Islam keseluruhannya.
Berkongsi pandangan dengan Mingguan Malaysia, Ketua Lajnah Perkaderan Kesatuan Pondok Kelantan, Ustaz Dr. Muna Hamzan berkata, kepentingan agama perlu didahulukan kerana setiap yang memilih akan dipersoalkan sekiranya tersalah pilih pemimpin khususnya yang mengabaikan kepentingan Islam dalam aspek duniawi dan ukhrawi.
Menurutnya, penegasan ini adalah bersandarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 27 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah yang dipercayakan kepada kamu, sedangkan kamu mengetahuinya.
“Justeru, kita berkewajipan menilai ciri-ciri kepimpinan yang ada pada bakal pemimpin (khalifah) sebagaimana yang ditekankan Islam.
“Antaranya, memilih orang yang taat pada perintah Allah SWT dan Rasul SAW, berilmu pengetahuan luas, berintegriti tinggi (sifat amanah) dan seumpamanya.
“Siddiq, amanah, tabligh dan fatonah perlu ada pada seorang pemimpin Islam. Rasulullah SAW adalah idola dan contoh pemimpin yang perlu menjadi ikutan,” katanya ketika ditemui di Pondok Moden Kandis, Bachok, Kelantan, baru-baru ini.
Tambah Dr. Muna, Imam al-Mawardi dalam kitabnya, iaitu al-Ahkam al-Sultaniyyah menjelaskan syarat-syarat untuk menjadi pemimpin dengan menggariskan tujuh kriteria utama iaitu keadilan, keberanian, memiliki ilmu, idea bernas, sempurna pancaindera dan berasal dari keturunan baik.
Menurutnya, Imam Nawawi juga menjelaskan terdapat 21 ciri kepimpinan Islam iaitu antaranya beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, beramal soleh, menjaga ibadat solat, takut kepada peringatan Allah, memimpin dengan adil, amanah, tidak menipu, benar dan berilmu.
“Menurut Imam Nawawi, seorang pemimpin yang dipilih adalah yang tidak zalim, tidak menyesatkan, tidak mementingkan diri, berjasa kepada manusia, tidak menyulitkan keadaan, tidak sombong dan tidak mengharap atau meminta-minta jawatan, tidak menerima rasuah dan imbuhan,” katanya.
Menurutnya, kepimpinan yang taat kepada Allah SWT pasti akan menghayati nilai kemanusiaan dan membawa kejayaan seimbang bagi keperluan duniawi dan ukhrawi.
Tuntasnya, ramai yang percaya bahawa kejayaan seorang pemimpin itu bukan atas nama jawatan dan kuasa semata-mata tetapi ia berkait ciri-ciri dan sifat keperibadian seseorang yang terzahir daripada jiwa yang bersih dan berakhlak mulia sesama manusia.
Menurutnya, pemimpin pada masa kini dapat diklasifikasikan kepada tiga golongan iaitu yang menguasai wilayah (negeri/negara), yang dipilih mengurus urusan tertentu dalam wilayah dan yang memberikan tunjuk ajar kepada masyarakat atau komuniti tertentu seperti para ‘asatizah’ dan sebagainya.
“Ketiga-tiga kategori kepimpinan ini memberi kesan kepada mereka yang dipimpinnya (rakyat). Begitu juga kepimpinan dalam kelompok kecil yakni ketua keluarga juga menjadi pencorak kepada anak-anak bawah jagaan mereka.
“Justeru, Islam mengambil berat dalam aspek siasah dan kepimpinan yang dapat ditelitikan menerusi Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 5 hingga 57, at-Taubah ayat 9 hingga 23, dan surah an-Nisa ayat 138 hingga 239,” katanya.
Dr. Muna berkata, ulama yang ‘rasikh’ memberi nasihat upaya beristikharah terlebih dahulu, bermusyawarah dengan yang lebih arif mengenai agama dan kepemimpinan selain melihat bakal pemimpin dari aspek kewibawaan, ketakwaan serta kemampuan segi fizikal dan intelektualnya.

DR. Muza Hamzan

Nama panggilan popular: Abu Muayyad
» Usia:37 tahun
» Asal: Kampung Peringat, Kota Bharu, Kelantan.
» Sejarah pendidikan:
Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir.
Doktor Falsafah (PhD) Syariah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
» Jawatan: Ketua Lajnah Perkaderan Kesatuan Pondok Kelantan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya