‘Saham dosa’ sebar fitnah, berita palsu - Utusan Malaysia

‘Saham dosa’ sebar fitnah, berita palsu

Larangan menyebarkan fitnah ini telah termaktub di dalam al-Quran namun masih ramai melakukannya termasuk secara terancang atau hanya mengejar keseronokan dalam mengisi bahan (content) di pelbagai platform media sosial. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FITNAH kini boleh merentasi dunia tanpa sempadan hanya dengan jari jemari yang bertanggungjawab membuat hantaran di media sosial.
Perbuatan yang ditegah oleh Islam ini dilakukan oleh jiwa yang condong melakukan kebatilan. Menyebar berita palsu boleh menghancurkan keluarga, komuniti dan organisasi sekiranya fitnah itu diterima tanpa usul periksa.
Berkongsi pandangan tentang penyebaran fitnah di zaman moden ini, Imam Muda Masjid Jajahan Pasir Puteh, Kelantan, Wan Mohamed Syahir Wan Mahmood berkata, perkembangan teknologi maklumat dan kemudahan telekomunikasi menjadi platform mudah manusia kini untuk menyebarkan fitnah secara pantas.
Menurutnya, larangan menyebarkan fitnah ini telah termaktub di dalam al-Quran namun masih ramai melakukannya termasuk secara terancang atau hanya mengejar keseronokan dalam mengisi bahan (content) di pelbagai platform media sosial.
“Kesan penyebaran fitnah itu suami isteri boleh bercerai-berai, ikatan keluarga dan silaturahim boleh terburai, manakala sesebuah agensi boleh menjadi penyebab kepada muflis dan tidak dipercayai oleh masyarakat.
“Lebih malang lagi, fitnah kini tidak hanya berlegar dalam sebuah rumah, kampung bahkan tular dalam dan luar negara.
“Semua peringkat individu boleh membaca hantaran dengan pantas. Bayangkan banyak ‘saham’ dosa yang kita terima kiranya pembohongan itu dibaca. Ini juga boleh dikategorikan sebagai umpatan zaman moden,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Justeru Wan Mohamed Syahir berkata, berita palsu dan hantaran yang tidak berasas perlu ditapis dan jangan sesekali membantu menjadi penyebar kedua atau berkongsi hantaran bahan kerana fitnah itu hanya dilakukan oleh mereka yang bernafsu jahat.
Katanya, Firman Allah dalam Surah Yusof ayat ke 53 yang bermaksud: “Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’
Fitnah juga digambarkan sebagai perilaku yang berbahaya sebagaimana firman Allah dalam sepotong ayat surah al-Baqarah, ayat 191 yang menyebut fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan, seharusnya disedari oleh umat Islam khususnya untuk tidak melakukan keterlanjuran.
Wan Mohamed Syahir berkata, pendekatan ‘tabayyun’ penting untuk berdepan dengan limpahan fitnah masa kini dan sentiasa bersangka baik tanpa menjerumuskan diri untuk mendapat dosa yang sama dengan membantu menyebarkan maklumat atau keaiban orang lain.
“Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (surah al-Hujurat, 12)
Menurutnya, penelitian di dalam menerima sesuatu pernyataan mestilah diutamakan untuk memastikan kebenarannya bagi mengelakkan kemurkaan Allah SWT, sekalipun pernyataan itu benar tetapi mengaibkan usahlah ia disebarkan lagi.
Katanya, jangan sesekali diikuti apa-apa yang di luar pengetahuan, jangan mengatakan sesuatu kiranya kita tidak mengetahui kebenarannya, jangan mengaku melihat apa yang kita tidak lihat dan jangan mengaku mendengar sekiranya kita tidak mendengarnya.
“Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan semua yang didengarinya (tanpa tabayyun).” (Hadis riwayat Muslim)

 

WAN MOHAMED SYAHIR WAN MAHMOOD
» Umur: 29 tahun
» Asal: Kuala Krai, Kelantan
Status: Berkahwin, dua orang anak
Pendidikan:
 Rendah – Sekolah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai
 Menengah – Maahad Tahfiz Sains, Tanah Merah (Yayasan Islam Kelantan)
 Diploma – Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
 Markaz Lughah: Darul Mustafa, Yaman
 Ijazah Sarjana Muda Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Tugas hakiki:
 Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam (Imam Muda Masjid Jajahan Pasir Puteh, Kelantan)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.