Jejak Ulama: Masjid ibarat cahaya bintang

Jejak Ulama: Masjid ibarat cahaya bintang

jejak ulama
MUHAMMAD YUSRY MAZLAN KUALA PILAH 2 Feb.- MUHAMMAD YUSRY MAZLAN ketika ditemui Mingguan Malaysia di Pondok Pesantren Darul Tauhid, Terachi, Kuala Pilah baru-baru ini.-MINGGUAN/NOR AINNA HAMZA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBENARAN solat fardu dan solat Jumaat berjemaah termasuk di Negeri Sembilan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan tindakan tepat bagi memastikan masjid sentiasa diimarahkan tanpa menutup fungsinya.

Tetamu Jejak Ulama minggu ini, Imam Besar Masjid Negeri, Seremban, Dr. Muhammad Yusry Mazlan berkata, kebenaran pelaksanaan solat berjemaah itu tentunya selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Beliau yang juga Mudir Pondok Pesantren Darul Tauhid, Terachi (PPDT) di Kuala Pilah menambah, amalan serta aktiviti di masjid juga menjadi antara ‘ubat’ dalam berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh negara ketika ini.

“Masjid ini serupa kita tengok langit pada waktu malam. Kalau kita tengok langit pada waktu malam banyak bintang dan kelihatan cantik. Macam itulah malaikat melihat ke bumi.

“Banyak bintang itulah masjid-masjid yang bercahaya, apabila masjid dibuka, solat jemaah dibenarkan dengan SOP, mengaji, berwirid, berdoa dan ini pun satu ubat berhadapan dengan penularan Covid-19,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Kuala Pilah baru-baru ini.

Muhammad Yusry turut meluahkan kesyukuran apabila Negeri Sembilan menjadi antara negeri yang mendahului dalam memberi kebenaran pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu semasa PKP tahun ini.

Menurut anak kelahiran Kampung Londah, Gemas itu, dari semasa ke semasa, pemantauan serta pematuhan SOP akan dimaklumkan oleh jawatankuasa masjid yang diketuai Imam kepada Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Datuk Mohd. Zaidi Ramli.

“Jabatan agama juga membenarkan pengajian agama pada waktu Maghrib dan Isyak di masjid-masjid tanpa meninggalkan SOP dengan jemaah wajib membawa sejadah sendiri, memakai pelitup muka dan mematuhi had keluasan melakukan ibadah dalam ruang utama masjid sahaja.

“Macam di Masjid Negeri sendiri, kehadiran jemaah berdasarkan kapasiti ruang masjid yang dibenarkan adalah sekitar 700 orang berbanding sebelum ini iaitu 1,500 orang,” jelasnya.

Selain itu tambah Muhammad Yusry, umat Islam termasuk di negeri ini juga sudah merindui dan semakin sedar dengan fungsi masjid di komuniti masing-masing.

“Ramai rindu dengan aktiviti masjid, kesedaran orang Islam sudah ada dan usaha berterusan daripada pihak berwajib dalam mengingatkan masjid ini tempat turunnya rahmat. Masjid ini tempat yang mana bila kita beribadat dan beriktikaf ada kelebihannya,” katanya. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN