ADA banyak versi menceritakan tentang titan, Prometheus dalam mitologi Yunani. Prometheus yakin dia adalah penyelamat, adiwira buat semua manusia. Dengan segala keberanian yang dikumpul, Prometheus membuat kerja gila, menipu ketua segala dewa, Zeus dengan mencuri api para dewa untuk diberi kepada manusia.
Sedangkan Zeus pernah memberi amaran dengan mengatakan dalam diri manusia ada kesombongan, mereka cuba membuat diri sekuat dewa-dewa jika diberikan api. Zeus murka dengan kedegilan Prometheus, dia ditangkap dan diikat di sebuah batu atas puncak gunung dingin bersalji.
Zeus memerintahkan helang datang, patuk dan makan hatinya. Prometheus tidak mati, dia menanggung kitaran sakit seksaan itu setiap hari.
Mary Shelley dalam novel genre gothic, horror dan sains fiksyen yang menggegarkan dunia sejak 1818 menyamakan karakter utamanya, Victor Frankenstein sebagai Prometheus. Ketika pengarah, Guillermo Del Toro (The Shape of Water, Pinocchio, Pan’s Labyrinth) mengadaptasi novel Frankenstein versinya sendiri, beliau juga tidak meninggalkan perbandingan itu menerusi dialog spontan Heinrich Harlander kepada Victor, di sebuah bilik bertingkap luas dengan wajah Medusa memenuhi dinding.
Guillermo Del Toro sudah menonton Frankenstein sejak usianya 7 tahun. Novel yang terbit pada 1818 itu sudah diadaptasi banyak versi sejak imej bergerak diperkenalkan di dunia. Thomas Edison mengadaptasi versinya menerusi filem pendek pada 1910 dan sehingga kini, dilaporkan sudah ada 433 filem panjang diinspirasikan daripada novel Mary Shelley itu.
Guillermo Del Toro dengan segala magisnya dapat mencerap kesunyian, keterasingan juga kebimbangan Mary Shelley semasa menuliskan Frankenstein pertama kali pada 1816. Mary diuji dengan kematian anak juga rindu yang tiada sudahnya kepada mendiang ibu yang pergi semasa dirinya masih muda.
Mary turut bergelut dengan kegusarannya terhadap beberapa eksperimen dan cubaan para cendekia pada zamannya seperti Luigi Galvani yang terkenal dengan kajian animal electricity menghidupkan kaki katak yang mati dengan elektrik sehinggalah Giovanni Aldini menggunakan mayat orang dihukum mati sebagai subjek kajiannya.
Guillermo cermat menyimpul eratkan keresahan Mary pada 1816 menerusi karakter Victor dalam filem di platform Netflix pada 2025.

Dipanggil rindu dendam
Victor (Oscar Isaac) tidak menciptakan ‘The Creature’ (Jacon Elordi) sebagai senjata politik untuk membantu mana-mana pihak dalam Perang Krimea. Tapi Victor menjadi Prometheus kerana rasa rindunya kepada mendiang ibu, seorang perempuan bangsawan yang mencintai busana serba merah, mati di tangan bapanya sendiri yang juga doktor paling sohor di negaranya.
Dendam membuatkan Victor bersumpah untuk menakluk segalanya (seperti namanya: Victor) termasuklah kematian. Sepanjang hidup, Victor dikenal sebagai seorang cerdik hanya berminat dengan kematian.
Victor dilihat membawa rindu kepada ibu ke mana-mana, dalam pakai dan gerak-gerainya ada sahaja warna kesukaan ibu diselit baik skaf di leher, epal di bilik bicara, sarung tangan hingga selimut kali pertama dia melihat ‘The Creature’.
Bagaimanapun, pemikiran dan tahap rasional manusia selalu terbatas. Prometheus tidak melihat itu selepas membawa pergi api Zeus.
Begitu juga Victor selepas obsesinya memberikan ‘api’ atau nyawa dengan menciptakan ‘The Creature’ tertunai. Dia ketar kerana sedar ada ruang lompong paling bahaya, tiada cara untuk mengawal dan menghentikan ciptaannya. Bayang rindu ibu hilang ketika dia sibuk mencari cara menjadi Tuhan.
Victor tidak pernah menganggap ‘The Creature’ sebagai anak di awal filem. Dia hanya memandangnya sebagai produk, maka tidak hairanlah mengapa dia bertindak kejam memukul, menggarinya di bilik bawah tanah.
Saya melihat Victor menjadi begitu kerana dia buntu dan keliru kerana semakin lama, semakin dia mengerti betapa pentingnya sebuah kematian. Betapa perlunya ada tarikh akhir untuk sebuah kehidupan.

Siapa sebenarnya raksasa di antara kita
Guillermo Del Toro tidak pernah memberikan satu syot pun yang statik sepanjang filem ini berjalan. Malah, beliau memberi peluang untuk ‘The Creature’ bercerita dalam filemnya. Menariknya, dalam Frankenstein versinya, raksasa tidak muncul di layar dalam berontak amarah, kejam dan liar. Sebaliknya, Guillermo menghadirkan ‘The Creature’ dalam keadaan seolah-olah dilahirkan, dia melihat hidup dengan segala kenaifan dan percayalah itu sangat menyentuh, menghangatkan.
‘The Creature’ dalam versi Guillermo Del Toro memberikan sebuah keindahan dan kesayuan pada masa yang sama. Kita berasa mudah berempati dengan keterasingannya. Mungkin sebab kita melihat bagaimana ‘The Creature’ perlahan-lahan berbeza di layar – rambutnya tumbuh, lukanya sembuh.
Dengan mata yang duka, ‘The Creature’ memikul segala kebuntuannya tentang hidup, seolah-olah dipaksa lahir dan bernafas dalam dunia yang tak mahu menerimanya kerana dia bukan manusia, bukan juga binatang. Paling sedih, dia tidak boleh mati.
Guillermo Del Toro memulangkan kepada kita untuk menilai semula siapakah raksasa dalam Frankenstein. Dalam kembaranya, ‘The Creature’ memberi rusa makan, menjaga seorang buta, menjadi semangat hutan untuk melindungi keluarga walau akhirnya berhujung kekecewaan. ‘The Creature’ akhirnya akur, kebaikan yang ada padanya tidak membawa ke mana-mana.
Begitu asing rupanya menjadi satu-satunya yang tidak tahu mencuriga. Begitulah, dunia selalu ada cara membunuh kenaifan kita.Frankenstein disudahi dengan tembok ego dan kesombongan Victor yang ranap dihujung ajal. Dia memandang ‘The Creature’ dengan kasih, sebagai anak. Memohon maaf membiarkannya menanggung dosa Prometheus yang tidak boleh mati. Meninggalkan ‘The Creature’ sendiri menapak jejak-jejak sepi.










