KUALA TERENGGANU: Perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia mesti dipelihara berlandaskan prinsip keadilan, kedaulatan undang-undang dan penghormatan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan keharmonian kekal terjamin.
Ahli Jawatankuasa Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, sejak kebelakangan ini pelbagai isu sensitif berkaitan hubungan kaum dan agama sering timbul serta mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat.
Katanya, ia bukan sahaja hangat diperkatakan di media sosial malah menjadi perbahasan dalam arena politik yang berpotensi menimbulkan ketegangan jika tidak ditangani secara berhati-hati.
“Malaysia adalah sebuah negara yang dibina atas asas kepelbagaian kaum, agama dan budaya. Perpaduan nasional adalah asas penting kepada kestabilan dan kemajuan negara.
“Semua pihak perlu berhati-hati dan bertanggungjawab dalam mengendalikan isu sensitif supaya tidak menjejaskan keharmonian yang dibina sejak sekian lama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, prinsip utama yang perlu dijadikan panduan dalam menangani isu sensitif adalah keadilan, kedaulatan undang-undang serta penghormatan terhadap Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Perlembagaan Persekutuan jelas menggariskan kerangka kehidupan bersama rakyat Malaysia.
Menurutnya, Perlembagaan mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan di samping menjamin kebebasan beragama, memelihara hak kaum lain serta menetapkan kedudukan institusi raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan bumiputera serta hak sah kaum-kaum lain.-UTUSAN.










