Jarang makan di restoran, masak sendiri lebih puas - Nabila Huda

Jarang makan di restoran, masak sendiri lebih puas – Nabila Huda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJADI seorang pelakon versatile itu mungkin terlihat gah pada mata kasar umum. Namun, tiada siapa pernah tahu betapa lelahnya seorang selebriti itu mendapatkan masa dan ruang untuk dirinya sendiri.

Kesibukan kerja dan jadual padat menjadi faktor utama yang menghalang mereka melakukan aktiviti kegemaran pada masa lapang namun, tidak bagi pelakon popular, Nabila Huda.

Umum tahu, Nabila juga antara selebriti yang kerap berkongsi video memasak di media sosial. Adakalanya, aktres ini berkongsi rutinnya itu seawal subuh hari demi menyediakan bekalan makanan yang sihat buat anak tersayang.

Kata Nabila, meskipun kesibukan kerja membuatkan dirinya sukar untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri, dia tetap mencari ruang untuk menyediakan makan minum buat keluarga tersayang.

“Apa yang saya buat adalah saya akan sentiasa susun jadual harian saya dan rancang untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri di rumah usai urusan kerja selesai.“Walaupun susah, tetapi bila dapat beraksi di dapur itu buat saya gembira dan puas hati,” katanya kepada Pancaindera.

Mengakui dirinya lebih berminat memasak berbanding melakukan perkara lain, aktres yang berusia 41 tahun itu menyifatkan menyediakan makanan di rumah lebih terjamin daripada makan di restoran.

 

“Saya memang suka memasak di rumah sebab lebih puas hati. Bila sediakan masakan sendiri kita tahu lebih bersih dan sihat. Kita juga tahu bahan-bahan apa yang digunakan dalam masakan.

“Yang paling penting saya perlu makan makanan sedap. Orang kata, air tangan sendiri lebih puas dan sihat untuk keluarga. Jadi, saya memang susah mahu mengelat daripada memasak.

“Lagipun, saya tidak suka mengemas rumah, saya anggap memasak ini adalah satu-satunya kepakaran yang saya ada,” jelasnya.

Pada masa sama, Nabila atau lebih mesra disapa sebagai Abil mengakui membeli belah barang masakan di pasar raya adalah faktor utama yang mendorong dirinya suka memasak.

“Saya banyak berhabis duit untuk membeli barang-barang dapur dalam sebulan. Saya tidak kerap berbelanja untuk membeli pakaian tetapi saya memang suka pergi ke pasar raya dan membeli barang untuk memasak.

“Saya boleh berada di situ selama mana yang saya mahu kerana saya suka baunya. Bagi saya itulah terapi dan cara saya healing. Perkara itu saya akan buat beberapa kali dalam sebulan,” ceritanya.Melihat ketangkasannya beraksi di dapur sahaja sudah cukup membuatkan ramai wanita bekerjaya terinspirasi dengan kerajinannya meskipun sibuk dengan tugas hakiki sebagai pelakon.

Nabila bagaimanapun menyifatkan setiap individu mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri bahkan sentiasa memiliki ruang untuk memperbaiki diri.

“Pada saya, memasak ini terserah pada individu itu sendiri. Kadang-kadang ada saja wanita yang tidak pandai memasak, tetapi pandai buat kerja rumah lain seperti mengemas dan sebagainya.

“Bagi saya setiap orang juga mempunyai kekurangan dan kelebihan tersendiri. Jadi, nikmati sahaja kehidupan yang kita ada sekarang. Siapa tahu suatu hari nanti yang tidak pandai memasak itu semakin handal memasak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN