Keperitan trauma zaman kanak-kanak - Utusan Malaysia

Keperitan trauma zaman kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Zaman kanak-kanak selalunya digambarkan sebagai tempoh yang penuh dengan keriangan dan keindahan, namun hakikatnya tidak semua insan melalui pengalaman sebegitu. 

Ada yang membesar dalam suasana penuh tekanan, dikelilingi cabaran keluarga, atau dibentuk oleh persekitaran yang pelik serta tidak konvensional. 

Perjalanan hidup awal inilah yang kadangkala meninggalkan kesan mendalam terhadap siapa mereka apabila dewasa kelak.Bagi sesetengah selebriti terkenal, kisah zaman kanak-kanak mereka bukan sahaja jauh berbeza daripada kebanyakan orang, malah ada yang begitu ekstrem hingga sukar dibayangkan. 

Dari ajaran sesat berunsur agama, komuniti hippie, hinggalah kehidupan glamor yang terlalu awal terdedah kepada dunia hiburan, kisah mereka membuktikan bahawa populariti dan kejayaan tidak semestinya lahir daripada masa kecil yang bahagia.

Drew Barrymore

Dilahirkan dalam dunia glamor dengan akses terus kepada industri hiburan, Drew Barrymore tidak banyak mempunyai pilihan terhadap zaman kanak-kanak mahu pun kerjayanya. Kedua-dua ibu bapanya yang juga pelakon dalam dunia Hollywood, menjadikan Drew sukar lari daripada perhatian sebagai anak kepada pasangan selebriti. 

Drew pernah berkongsi, ketika berusia 10 tahun, dia pernah mengambil barang terlarang iaitu ganja bersama rakan ibunya dan menyangka wanita itu hebat ketika itu. Tidak cuma itu, dedah Drew, seawal usia 11 bulan, ibunya juga sudah mendorongnya ke dunia lakonan iklan, seolah-olah jalan hidupnya sudah ditentukan. 

Pada usia tujuh tahun, Drew  memperolehi peranan besar dalam filem E.T. the Extra-Terrestrial arahan Steven Spielberg. Tidak lama selepas itu, dia mula mengunjungi kelab malam bersama ibunya dan terjebak dengan alkohol serta dadah pada usia sembilan tahun.

Dari berparti dengan bintang rock sepanjang masa hingga pelbagai masalah lain, Drew dimasukkan ke pusat pemulihan pada usia 12 tahun, kembali ketagihan setahun kemudian, dan akhirnya ditempatkan di institusi mental pada usia 14 tahun. 

Menyedari betapa tidak normalnya kehidupan itu, dia akhirnya memohon pembebasan sah daripada ibu bapanya untuk keluar daripada kehidupan penuh tekanan sebagai bintang kanak-kanak. 

Joaquin Phoenix

Joaquin dilahirkan dalam sebuah kumpulan ajaran sesat berunsur agama yang dikenali sebagai ‘Children of God’ di Amerika Syarikat, sebelum ibu bapanya meninggalkan kumpulan itu setelah mengetahui amalan pelik mereka.

Joaquin menggambarkan ia sebagai sebuah ‘kultus yang bermasalah tetapi menunggang sebagai komuniti keagamaan’.

Ibu bapanya, yang pada mulanya mencari kelompok untuk berkongsi kepercayaan agama, akhirnya menyedari bahawa kumpulan itu terlibat dalam amalan songsang selain terdapat banyak laporan penderaan seksual terhadap kanak-kanak. 

Pelakon filem Joker ini menegaskan bahawa ibu bapanya tidak pernah terlibat dalam hal tersebut, malah segera keluar setelah menyedari sesuatu yang tidak kena. 

“Pada mulanya mereka fikir ia hanya komuniti agama. Tetapi kemudian mereka sedar ada sesuatu yang tidak betul… lalu mereka segera ‘cabut’ dari kumpulan itu,”katanya. 

Jared Leto

Jared membesar dalam komuniti seni berunsur hippie, berpindah-randah bersama keluarganya ke serata tempat, sama ada dari Wyoming hinggalah ke Amerika Selatan.

Kehidupannya banyak dipengaruhi gaya hidup bohemia, tinggal dalam komuniti bersama para artis hippie.

Ibunya sentiasa mendorong Jared dan adik-beradiknya untuk berimaginasi luas serta berkecimpung dalam muzik. 

“Membesar dalam pengalaman komuniti seni hippie, garis antara kehidupan biasa dan dunia seni seolah-olah tidak jelas,”katanya dalam satu temu bual. 

Namun begitu, Jared sangat menghargai pengorbanan ibunya. 

“Ibu menggalakkan kami untuk menjadi kreatif, bekerja keras dan menghasilkan sesuatu yang istimewa,”katanya. 

Zooey Deschanel

Zooey membesar dengan banyak mengembara ke seluruh dunia bersama ibu bapanya yang terkenal, tetapi hal itu menjadikannya sering dibuli berikutan jarang berada di sekolah.

Ayahnya ialah seorang jurukamera filem, manakala ibunya pula seorang pelakon. Disebabkan itu, Zooey mengikuti mereka ke pelbagai lokasi penggambaran, termasuk Seychelles dan Yugoslavia, ketika usianya masih terlalu muda.

“Saya benci masa itu. Saya menderita. Bayangkan ketika berumur lapan tahun, tinggal di Los Angeles, semua orang ada mainan, tetapi saya dibawa ke negara di bawah pemerintahan diktator Marxis, tiada kedai mainan, tiada siapa fasih berbahasa Inggeris, cuaca sangat panas, dan makanan hanya ikan,  yang saya langsung tak suka,”luahnya. 

Apabila kembali ke sekolah, Zooey  berdepan ejekan rakan sebaya yang menganggapnya pelik kerana sering menghilang. 

“Tiada siapa suka pada saya kerana saya dianggap ganjil dan sering ke tempat-tempat jauh,” jelasnya.

Glenn Close

Glenn membesar dalam sebuah kumpulan kontroversi Moral Re-Armament (MRA) di Amerika Syarikat termasuk tinggal di ibu pejabat mereka di Switzerland ketika di zaman kanak-kanaknya. 

Dari usia tujuh hingga 22 tahun, Glenn hidup dalam pengaruh kumpulan itu, sesuatu yang telah meninggalkan trauma emosi dan psikologi yang mendalam buat dirinya. 

“Sungguh menakjubkan bagaimana sesuatu yang dilalui pada usia begitu muda masih berpotensi merosakkan hidup. Itulah trauma zaman kanak-kanak, itu yang saya alami,”

“Disebabkan kesan emosi dan psikologi kumpulan itu, saya gagal membina hubungan yang kekal. Saya kesal tentang itu. Saya percaya sifat semula jadi manusia ialah untuk hidup terhubung,”katanya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN