WALAUPUN sudah berpengalaman beraksi di puluhan konsert dan bernyanyi di ratusan acara, sudah tentu rasa gemuruh tetap ada dalam hati setiap penyanyi.
Perkara juga yang dialami penyanyi kelas ‘A’ di Hollywood, maklumlah persembahan mereka di atas panggung akan selalu diperhatikan, dikritik dan paling menakutkan diulang tayang di era digital ini.
Daripada cara berpakaian, vokal, persembahan pentas, tarian semuanya kena tampil sempurna. Apabila memikirkan semua ini, hati mana yang tidak berdegup kencang.
Berikut kami senaraikan antara ritual unik yang dilakukan para selebriti sebelum naik ke atas panggung.
Beyonce – duduk atas kerusi urut
Kita mulakan dengan penyanyi yang dipanggil Queen B oleh peminat iaitu Beyonce. Dalam satu temu ramah bersama majalah fesyen terkenal, Vogue, artis popular dunia ini mengakui ritual sebelum beraksi di mana-mana konsert besar dimulakan beberapa jam lebih awal. Ia dimulakan dengan sesi berdoa beramai-ramai sesama ahli pasukan dan melakukan senaman ringan.
Selepas itu, satu jam sebelum persembahan, dia akan duduk di atas kerusi urut sambil berdandan dan mendengar lagu-lagu daripada senarai pilihannya. Ujarnya, dia memerlukan satu jam penuh ketenangan sebelum naik pentas.
Taylor Swift – berbual dengan penari
Seterusnya ialah penyanyi yang memegang rekod konsert jelajah paling berpengaruh menerusi ‘The Eras Tour’ sekali gus menjadikannya penyanyi dengan pendapatan tertinggi melalui konsert dalam sejarah.
Taylor Swift mempunyai sesi latihan yang ketat iaitu akan berlari sambil bernyanyi di atas sawat injak untuk lagu rancak. Manakala akan berjalan sambil bernyanyi untuk lagu perlahan. Sebelum naik ke pentas, Taylor melakukan latihan vokal dan berbual hal positif bersama rakan penarinya. Tidak hairanlah mereka dilihat akrab atas pentas.
Selena Gomez- minum minyak zaitun
Lain pula ceritanya dengan Selena Gomez, sebelum ini dia secara terbuka berkongsi ritual minum minyak zaitun sebelum persediaan bernyanyi di mana-mana konsert. Jelas Selena nasihat itu dilakukan selepas dia menonton sesi temu ramah penyanyi, Kelly Clarkson. Dia mengikuti petua itu walaupun belum pernah bersemuka dengan Kelly Clarkson.
Jelas Selena, setiap kali dia minum satu sudu minyak zaitun, tekaknya terasa payau dan kelat. Tapi dia percaya ritual itu akan membantu menjaga suaranya semasa bernyanyi.
Christ Martin- berus gigi
Vokalis kumpulan Coldplay ini lain pula ceritanya. Ramai juga sudah tahu bahawa semua ahli kumpulan Coldplay akan berkumpul sama-sama dan peluk sesama sendiri sebelum melangkah ke atas pentas. Sebelum berpelukan, Christ Martin akan pastikan mulutnya berbau wangi.
Dalam satu temu ramah, Christ kata, dia ada lebih kurang 18 perkara nak dibuat sebelum naik atas pentas salah satu daripadanya ialah berus gigi, kalau tak, dia rasa macam ada yang tak kena.
Adele – cipta alter ego
Rupanya Adele mempunyai serangan panik boleh tahan dahsyat dan dikatakan pernah muntah berkali-kali. Sama juga bila dia mahu bertemu Beyonce. Oleh sebab itu, Adele mempunyai ritual yang agak berbeza kerana dia mencipta alter ego dirinya bagi mengatasi perasaan gugup yang dipanggil ‘Sasha Fierce’. Sasha dikatakan muncul setiap kali Adele naik ke atas pentas.