Pengerusi IJM Corp ditahan, rumah digeledah SPRM

Pengerusi IJM Corp ditahan, rumah digeledah SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengerusi syarikat IJM Corporation Berhad ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.

Menurut sumber, penahanan suspek lelaki berusia lingkungan 70-an itu dibuat kira-kira pukul 7 malam semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas kediaman beliau digeledah.

“SPRM telah melakukan pemeriksaan dan penggeledahan di tiga lokasi baharu iaitu sebuah institusi pengurusan dana dan pelaburan; sebuah bank pelaburan dan kediaman suspek.

“Siasatan awal mendapati bank pelaburan tersebut telah dilantik untuk menguruskan proses tawaran pengambilalihan ke atas IJM Corporation Berhad termasuk urusan kawal selia dengan sebuah badan berkanun biaya kendiri,” katanya.

Kata sumber itu lagi, siasatan turut menumpukan kepada usaha mengesan dan menyita aset-aset lain yang disyaki telah diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram dan setakat ini pihaknya telah memanggil 15 orang saksi termasuk isteri suspek untuk dirakam percakapan.

Pada 19 Januari lalu, Bahagian Operasi Khas SPRM telah menjalankan siasatan terhadap suspek berkaitan tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset berjumlah RM2.5 billion di luar negara dan potensi elemen kesalahan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan.

Sehubungan itu, SPRM telah membekukan 70 akaun bank persendirian serta akaun syarikat-syarikat yang berkaitan dengan jumlah kira-kira RM30.6 juta.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan maklumat tersebut.

Katanya, fokus siasatan menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Tambah beliau, suspek telah dilepaskan dalam tempoh 24 jam selepas keterangan diambil memandangkan suspek turut mengalami masalah kesihatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN