Hampir dua dekad mencipta nama dalam industri seni tanah air, nama pelakon,
Alvin Chong bukanlah asing dalam kalangan penggemar dunia lakonan.
Perjalanan kariernya kini yang semakin gah menembusi dunia nyanyian dan peragawan secara global, sudah cukup membuktikan dirinya seorang selebriti versatile.
Meskipun langkahnya kini lebih sederhana, berbanding suatu ketika dahulu, Alvin mengakui dirinya lebih selesa berpijak pada bumi yang nyata.
“Walaupun saya sudah lama berada dalam industri seni, saya lebih selesa menjalani kehidupan secara sederhana. Ramai kawan-kawan saya yang sudah tukar kereta tetapi saya masih pakai kereta yang sama saya miliki
sejak tujuh tahun lalu.
“Saya fikir cukup sekadar boleh saya bawa pergi kerja sudah memadai. Janji saya boleh pakai dengan selesa. Rumah pun saya masih tinggal di rumah sama dan tidak terfikir untuk pindah,”katanya kepada Pancaindera.
Tambah pemilik nama lengkap Alvin Chong Chean Wah itu, untuk terus relevan dunia seni ini bukanlah satu perkara yang mudah apatah lagi wujudnya pelapis baharu hari demi hari.
Bahkan dirinya sendiri, pernah mempersoalkan sejauh mana populariti yang diraih kini mampu bertahan memandangkan ini sahajalah satu-satunya punca pendapatan yang dimiliki.
“Saya pernah terfikir juga nama Alvin ini boleh kekal berapa lama lagi? Adakah hanya berbaki setahun dia sahaja? Kitarannya berputar sangat laju dan semua orang boleh jadi artis.
“Saya percaya itu adalah rezeki mereka. Tetapi saya sendiri tertanya-tanya sampai bila saya akan buat benda ini? Apabila orang tanya apa perancangan saya sekiranya perkara itu berlaku?
“Perniagaan? Saya tidak tahu semua itu. Tetapi saya tahu kalau kita tidak kerja, kita tak akan dapat duit. Apatah lagi tanggungan saya banyak,”katanya.
SILAP YANG TIDAK BOLEH DIUNDUR
PERNAH terlintas untuk berehat seketika suatu ketika dahulu, pelakon yang berusia 34 tahun itu mengakui keputusan tersebut akhirnya memakan dirinya.
Kata Alvin, keputusan itu juga yang menjadi penyebab popularitinya menjadi dingin dan tidak sehangat seperti dulu.
“Sebenarnya saya menyesal buat keputusan untuk berehat seketika sewaktu nama saya sedang memuncak naik satu ketika dahulu.
“Kalau ikutkan perancangan asalnya, saya hanya mahu berehat sebulan dua sahaja. Namun, lain pula jadinya. Dari sebulan membawa ke setengah tahun.
“Tetapi sewaktu nama saya meningkat naik pun ia berlaku secara tidak dijangka. Jadi, saya juga tidak bersedia ketika itu, “kongsinya.
Pun begitu, Alvin tidak menyangka
keputusan itu juga mengubah kehidupannya secara total bahkan menjadikan dirinya lebih matang berbanding sebelumnya.
Kongsinya, perkara itu bermula sejak
pandemik sekali gus menjadi asbab dirinya lebih selesa menjadi seorang introvert.
“Suatu ketika dahulu saya pernah paksa diri untuk menjadi seorang yang peramah. Semua itu demi membuat orang sekeliling sukakan saya.
“Tetapi lama kelamaan saya rasa jijik dengan diri sendiri kerana itu bukan saya. Banyak juga habit buruk yang saya sudah tinggalkan seperti minum alkohol dan parti. Saya memilih untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat.
“Jika tiada urusan kerja, saya memang akan duduk di rumah sahaja dan tidak keluar ke mana-mana. Kadang-Kadang terasa seperti sudah pencen pula,” katanya.
ALVN LEBIH KOMERSIAL
SELEPAS kemunculannya menerusi drama bersiri Tiada Seperti Leyla, nama Alvin kembali menjadi sebutan hangat apatah lagi dirinya membintangi watak lelaki pujaan wanita dalam naskhah cinta tersebut.
Meskipun sudah terbiasa menjayakan naskhah romantik komedi, Alvin tetap bersyukur kerana peminat masih tidak jemu menghargai lakonannya.
“Durasi drama Tiada Seperti Leyla ini singkat sahaja. Satu episod hanya ditayangkan dalam masa tiga minit. Walaupun singkat, drama itu juga tetap menjadi sebutan.
“Saya rasa lega juga kerana mereka masih lagi belum muak melihat wajah saya muncul di kaca televisyen. Pada saya, itu juga petanda yang baik untuk kerjaya saya sekarang,” katanya.
Selain kerjaya lakonan, Alvin juga sudah mula melebarkan sayapnya ke peringkat lebih global bahkan sering menjadi wajah eksklusif untuk beberapa jenama mewah.
Selari dengan pencapaian tersebut, pelakon itu juga kini lebih selesa membawa identiti dirinya sebagai Alvn sebagai nama pentas yang baharu.
Kata Alvin, nama itu lebih komersial memandangkan dirinya kini kerap menerima undangan untuk menghadiri acara fesyen di peringkat antarabangsa.
“Saya tidak mempunyai perancangan untuk melebarkan kerjaya saya di luar negara. Tetapi sekiranya ada, saya tidak akan menolaknya.
“Sekarang pun saya lebih selesa dikenali sebagai Alvn kerana tidak mahu buat orang keliru. Ini kerana setiap kali menghadiri pertunjukan fesyen, nama Chong itu agak susah sikit untuk digunakan di luar.
“Jadi, saya singkatkan menjadi
Alvn sahaja yang lebih komersial untuk digunakan di mana-mana,” ujarnya.