TIDAK banyak jejak digital menceritakan bagaimana generasi pelakon cilik di era awal 90-an bekerja. Satu-satunya yang boleh memberikan kita sumber utama tentang pengalaman itu dan juga masih aktif berkarya sehingga kini adalah pelakon, Bell Ngasri. Menjadi anak kepada artis rakaman suara, Ngasri Sain dan pelakon, Habibah Jaafar, Bell dan adik-beradiknya sudah terjun ke dalam bidang seni sejak kecil lagi.
Namun antara Anne, Darling, Nasliza dan Nassuhada, hanya Bell yang masih bertahan sebagai anak seni sehingga ke hari ini. Setiap nama otai yang kita kenal pada hari ini, Bell atau Nasrizal bin Ngasri, 44, sudah mengenali mereka sejak usianya tujuh tahun lagi.
Bagi mengenal situasi yang dilalui artis cilik dan budaya kerja industri sekitar hujung 80-an dan awal 90-an, Jawablah Bell!
J: Dari kecil sampai besar bergelumang dengan selit, lumpur industri lakonan. Pernah tak rasa menyesal?
B: Saya kalau nak menyesal, dari dahulu lagi sudah rasa begitu. Tapi sudah rezeki perjalanan saya begini. Ayah dan emak saya juga memang berdarah seni dan mereka gembira saya masih dalam bidang ini walaupun cita-cita asal mahu jadi angkasawa. Maklumlah saya ambil aliran sains.
Bidang seni mungkin orang tidak anggap ia sama dahsyat dengan ahli perniagaan atau Majistret. Tapi ia tetap pekerjaan yang profesional.
J:Kalau boleh cerita zaman berlakon di era awal 90-an, macam mana situasinya?
B:Dari kecil saya sudah ambil serius tentang pekerjaan ini. Tapi oleh sebab saya banyak bergaul dengan otai, akal saya tidak sama dengan fizikal yang masih budak.
Saya selalu fikir, jika saya tidak belajar betul-betul, apa akan jadi dengan saya? Macam mana saya mahu cari rezeki buat keluarga? Sukar mahu tumpukan pelajaran, tapi saya buat yang terbaik.
Kalau di set penggambaran, jika tiada ‘scene’, saya akan buka buku dan siapkan semua kerja sekolah. Bila sampai sekolah, semua orang pergi bermain, saya di dalam kelas cuba untuk kejar apa yang sudah saya tertinggal sepanjang beberapa hari. Jangan ambil kesempatan tunggang gelaran pelakon, cikgu dahulu layan semua sama rata.
J: Maksudnya, persepsi cikgu dan kawan-kawan Bell dahulu bagaimana? Boleh dianggap anak nakal?
B: Terus-terang saya cakap, sayalah orang yang paling kerap jumpa cikgu sebab dianggap pelajar bermasalah. Maklumlah, selalunya saya lambat datang sekolah sebab habis penggambaran lambat. Tidak fasal-fasal kena lari keliling padang.
Ada satu cerita menarik di mana saya habis kerja pukul 5 pagi kemudian terus ke sekolah siap bawa pakaian seragam. Tapi sampai sahaja depan sekolah, pintu pagar sudah ditutup, waktu itu Lisdawati yang jadi pengawas. Kami satu sekolah. Lepas itu tidak sangka pula dia yang jadi pelakon.
J: Kalau di set pula, adakah abang terima layanan berbeza maklumlah masih cilik dan muda?
B: Lagilah tiada layanan istimewa. Saya pernah dianggap gelandangan sebab kru produksi mahu kenakan saya. Mereka biar saya tidur di tepi jalan, langsung tidak kejutkan.
Waktu itu umur saya 10 tahun, kebetulan memang ada ‘scene’ gelandangan dan kami habis ‘shoot’ pukul empat pagi. Saya sepatutnya pura-pura tidur di tepi jalan tapi boleh terlelap. Sepanjang saya tidur, memang ada orang bagi duit syiling. Bila saya bangun sudah pukul 10 pagi, terus saya tumpang mandi di kedai belakang sebab ‘call time’ seterusnya pukul 11.
Bertambah ‘real’ saya bawa watak gelandangan.
J: Kalau begitu, sejak kecil lagi Bell tidak cukup tidurlah ya?
B: Saya kalau nak bercerita tentang pengalaman tidak cukup tidur, saya pernah sampai tiga hari tidak tidur. Maklumlah, kalau tidur dalam kelas pun kena denda. Tapi saya tak pernah terfikir nak berhenti sekolah, malah jadi semakin minat. Sebab hanya di sekolah saya dapat jumpa rakan sebaya dan bermain dengan mereka.
J: Zaman kini, sekolah dan universiti sudah tidak lagi dirasakan penting. Kalau sudah popular, mudah saja menjadi artis. Apa pendapat Bell?
B: Kejar duit itu untuk poket, tapi untuk otak kita tidak boleh kosong. Sekolah ia bukan sahaja tentang ilmu, tapi ia juga mengasah kemahiran pergaulan kita. Bagi saya, kita tetap salah jika tak cari ilmu kerana di situlah terletaknya masa hadapan kita. Percayalah, bidang ini ada turun naiknnya.
Saya bernasib baik kerana ada ‘back up’. Jika ada masa kurang tawaran, adik-beradik dan keluarga saya masih boleh berikan saya pekerjaan kepada saya.
J: Betulkan ada beberapa tahun Bell ‘berpuasa’ menjadi pelakon? Kenapa?
B: Mungkin ramai tidak tahu, tapi ketika usia saya sekitar 21 tahun, saya ambil sijil bidang penyiaran di Akademi TV3. Saya fikir, saya perlu belajar dan ada kelulusan.
Saya pernah bekerja belakang tabir selama tiga tahun daripada menulis skrip, jadi kru sehingga pembantu pengarah. Tapi saya sedar, gaji di depan kamera dan di belakang kamera tidak sama. Selepas tiga tahun, saya kembali berlakon kerana semua orang rasa saya lebih sesuai di depan kamera.
J: Kalau boleh ada satu nasihat yang Bell boleh kongsikan sebagai senior, apakah nasihat itu”
B: Saya bekerja sejak remaja lagi dan lalui zaman lambat ke sekolah, kena maki. Pastikan semua kerja kita diselesaikan dengan baik. Dahulukan mana yang perlu. Jangan tamak ambil semua kerja dalam satu masa.
Hidup ini bukan nak mengejar kaya sahaja, tapi pada masa kita berbakti kepada masyarakat dan industri. – UTUSAN