KANGAR: Kenaikan harga diesel sebanyak 80 sen memberi kesan besar kepada sektor pertanian khususnya pesawah yang dijangka berdepan peningkatan kos operasi terutama upah jentera sehingga 30 peratus.
Daripada jentera membajak, pam air, mesin menuai hinggalah kepada pengangkutan hasil, hampir keseluruhan rantaian pengeluaran padi tersebut bergantung kepada penggunaan diesel.
Ekoran itu, kira-kira 15,960 pesawah dalam dan luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di negeri ini dijangka mengalami penyusutan pendapatan sehingga 20 peratus berikutan terpaksa menanggung kenaikan pelbagai kos kesan kenaikan harga diesel itu.
Seorang pengusaha jentera berat, Che Fariz Izani Che Ya,37, berkata, kos sewa jentera dijangka meningkat dari RM350 kepada RM450 bagi tiga putaran untuk keluasan 0.3 hektar atau serelung.
Katanya, pengusaha jentera tiada pilihan selain menaikkan kos upah berikutan kenaikan harga diesel tersebut.
“Paling terbeban sudah pastinya pesawah dan kami juga perlu menampung pelbagai kos lain kesan kenaikan tersebut. Selain jentera berat, kos upah lori juga dijangka naik 30 peratus.
“Saya cadangkan jika harga minyak tidak boleh turun, kerajaan perlu menyalurkan subsidi minyak kepada jentera pertanian bagi membolehkan pengusaha mengekalkan kos sewa jentera pada harga lama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Konflik perang di Asia Barat mula memberikan kesan kepada bahan api di negara ini selepas kerajaan mengumumkan lonjakan kenaikan harga RON95 dan RON97 masing-masing sebanyak 60 sen, manakala diesel di Semenanjung dinaikkan 80 sen seliter.
Pesawah, Mohd. Noor Hashim,63, berkata, kenaikan harga diesel secara tidak langsung mempengaruhi harga kos upah jentera dan ia sudah pastinya tidak dapat dielak.
Katanya, jika sebelum ini, kos upah mesin padi bagi 0.3 hektar sekitar RM180 bakal melambung kepada RM200 dan begitu juga kos traktor dari RM130 untuk keluasan sama bakal mengalami peningkatan minimum 20 peratus selain upah lori daripada RM25 dijangka naik kepada RM40.
“Pendapatan pesawah dijangka menyusut RM70 sehingga RM80 serelung (0.3 hektar) ekoran peningkatan kos upah jentera tersebut.
“Semua jentera pakai diesel dan pengusaha jentera berat itu juga tidak mempunyai pilihan terpaksa menaikkan kos upah ekoran peningkatan harga diesel yang sangat tinggi kali ini.
“Banyak kesan akan diterima pesawah dengan pendapatan bersih sebelum ini daripada RM2,700 perhektar dijangka menyusut sehingga RM1,200 iaitu penurunan sekitar 20 ke 30 peratus,” katanya.
Mohd. Noor berkata, apabila berlaku kenaikan diesel ia akan berkait dengan pengusaha jentera yang sudah pastinya akan melakukan semakan harga terhadap kos upah jentera itu.
“Akhirnya yang terkesan sudah pasti pesawah yang kebanyakkan terdiri daripada golongan B40 dan ada yang lebih susah lagi. Kita tidak boleh salahkan pengusaha, kerana mereka juga perlu menampung kos apabila berlaku kenaikan harga minyak ini.
“Dalam tempoh dua tiga tahun ini, sudah beberapa kali kami berdepan kenaikkan kos upah jentera,” katanya. – UTUSAN










