Berani kerana ‘benar’ - Utusan Malaysia

Berani kerana ‘benar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELALUNYA memang sangat sukar atau boleh dikatakan mustahil seseorang selebriti itu mahu mengaku melakukan sebarang rawatan atau pembedahan kosmetik. Terutama mereka yang dikenali kerana kecantikan.

Biarlah wajah sudah senget sebelah, macam rupa ikan pari sumpahan anak derhaka yang pernah viral di era 3gp tetaplah tidak ada siapa pun mengaku. Kadang-kadang pelik, kenapa susah sangat nak mengaku ya?

Bukan apa, zaman sekarang ini walaupun mengubah ciptaan Tuhan itu sudah sedia maklum haram, tetapi rasanya perkara itu seperti sudah dinormalisasi dan ‘diterima’ masyarakat. Senang cakap, tidak ada siapa kisah.

Asalkan jangan melampau sangat dan berubah terus mukanya. Itu memang mengundang kecaman umumlah. Wajah sudah sedia cantik, menua dengan indahnya tetapi entah kenapa ‘gatal’ nak cucuk sana sini.

Bila aktor, Nazim Othman mengaku melakukan prosedur kecantikan dengan menegangkan kulit wajah, Poklip tidak terkejut pun bila ada yang dengan selamba menyokong dan mahu melakukan rawatan sama.

Zaman sekarang ini, macam-macam rawatan ada. Cucuk botox bukan lagi tabu dalam perbualan harian. Malah, banyak sahaja klinik kecantikan menawarkan pelbagai rawatan dengan harga berpatutan.

Tinggal mahu fikir halal haram sahaja. Tetapi bukan tugas Poklip dan rakan pembaca semua menghukum mereka. Kadang-kadang cakap pemikiran kita semua tidak sama. Apa tujuan mereka, biarlah mereka tahu.

Tetapi keberanian Nazim dan beberapa selebriti lain yang selamba mendedahkan prosedur kecantikan mereka juga sesuatu yang mungkin harus dipuji. Tidaklah anda semua penat tertanya sendiri, kenapa muka dia berubah sangat?

Macam ada seorang pelakon wanita yang dramanya meledak baru-baru ini. Berubah sungguh wajahnya. Makin pelik dan tidak seperti wajahnya dahulu. Kalau ditanya, tidak mahu dijawab. Jawapan mudah – air wuduk.

Takkanlah dengan air wuduk sahaja mata seperti ditarik, kulit tegang dengan hidung semakin mancung. Kita sekarang berada di zaman sosial media. Gambar anda mungkin tunggu masa untuk ditularkan.

Hendak buat muka, itu pilihan masing-masing. Hendak simpan atau dedahkan juga, pilihan masing-masing tetapi janganlah buat muka terkejut, menyampah atau menjeling rakan media yang bertanya dengan baik.

Dari era dunia seni dahulu lagi, ramai sahaja artis yang kita tahu dalam terang dan kelam buat muka. Ada yang mengaku depan-depan dan ada yang menyimpan ‘aib’ sendiri. Tak perlu beriya membenci soalan itu pun.

Apatah lagi, sekarang dan zaman review. Lihat sahaja Zarina Anjoulie, dengan santai dan bersahaja siap muat naik video dan berkongsi lokasi klinik tersebut lagi. Tiada siapa yang akan bertanya lagi.

Kadang-kadang, berani kerana ‘benar’ sahaja. Walaupun apa yang anda buat itu salah, tetapi sampai bila hendak simpan rahsia. Muka sudah seperti ikan pari kena sumpah dah kak, takkan tak buat apa apa kan?

Cuma hadap sahajalah kecaman orang. Yang berubah itu wajah anda, bukan penerimaan orang. Walaupun ada yang menyokong, tetapi pasti ada yang menentang. Lumrah kan?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN