Ben Nathan buktikan masih boleh menyanyi - Utusan Malaysia

Ben Nathan buktikan masih boleh menyanyi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS 25 tahun menghilang, penyanyi terkenal era 80-an, Ben Nathan, kembali mengubat rindu peminatnya menerusi single terbarunya, Kebahagianmu.

Lagu yang disiapkan sejak dua tahun lalu itu dihasilkan pencipta terkenal Indonesia yang dirahsiakan identitinya khusus untuk penyanyi tersebut.

Single yang menjadi buah tangan istimewa penyanyi berusia 62 tahun itu dirakam selama empat jam di bawah bimbingan penyanyi bertaraf legenda, Datuk DJ Dave.

Ben yang lebih dua dekad tidak masuk ke studio rakaman, mengakui berdepan pelbagai cabaran sepanjang proses lagu berkenaan dirakamkan.

“Persiapan sebelum proses rakaman mengambil masa enam bulan. Dalam tempoh itu, saya setiap hari melakukan latihan vokal bersama DJ Dave. 

“Hasilnya, vokal saya kembali pulih. Daripada tak boleh menyanyi, kini semakin baik,” katanya semasa pelancaran lagu berkenaan.

Ibarat mimpi menjadi kenyataan apabila hasrat penyanyi ini untuk menyanyikan lagu ciptaan komposer Indonesia dilunaskan.

Beliau sebelum ini acap kali meluahkan keinginan untuk terbang ke Jakarta bagi merakamkan lagu.

Impian berkenaan direalisasikan dengan pertolongan DJ Dave dan usahawan terkenal, Tan Sri Datuk Seri Syed Mohd. Yusof Tun Syed Nasir yang berusaha mendapatkan lagu daripada komposer di sana.

Semenjak itu, Ben tidak lagi mendesak untuk ke Indonesia selepas berjaya mendapatkan lagu dari komposer di negara tersebut.

Ben juga bertuah kerana penghasilan lagu Kebahagianmu dijayakan rakan pemuzik tempatan yang menyumbangkan kreativiti semata-mata untuk membantu penyanyi ini kembali aktif dalam dunia seni suara.

Kesanggupan mereka itu membuatkan lagu terbabit dan klip videonya berjaya dihasilkan dengan hanya bermodalkan RM20,000.

“Selepas 25 tahun, tentunya saya seronok apabila diberi peluang sekali lagi untuk merakamkan single.

“Impian ini juga tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa sokongan moral  daripada keluarga, peminat dan rakan media

“Dan yang penting, saya suka lagu ini. Liriknya menyentuh perasaan saya, melodi dan muziknya juga pada saya indah,” jelasnya.

Kelahiran lagu ini membuka satu lembaran baharu buat Ben yang memulakan kerjaya nyanyiannya sejak 1986.

Perjalanan pulang beliau ke dalam dunia seni suara diteruskan menerusi penghasilan sebuah lagi single yang dicipta adiknya sendiri, Bob.

 

ILUSI SEKEPING HATI

PEMBABITAN secara profesional anak kelahiran Bukit Mertajam ini dalam dunia seni suara bertitik tolak pada tahun 1986 dengan penghasilan album Stanza Sepi Sekeping Hati yang diterbitkan pada tahun yang sama.

Ben selepas itu muncul dengan beberapa album yang lain seperti Ilusi Satu Penantian pada tahun 1987 dan Ucapan Tak Seindah Sayang (1989).

“Lagu Stanza Sekeping Hati melonjakkan nama saya dalam dunia seni tanah air. Disebabkan lagu itu saya dikenali.

“Namun, lagu yang benar-benar istimewa bagi saya adalah Ilusi Satu Penantian kerana lagu itu pernah berjaya ke peringkat akhir Muzik-Muzik pada tahun 1988.

“Penghasilan album Ilusi Satu Penantian pada saya satu kenangan yang tak dapat saya lupakan kerana ia dirakamkan di studio Ready Fusion, yang merupakan sebuah studio bawah tanah sekitar tahun 80-an,” kongsinya.

 

TIDUR DI KAKI JALAN, BAWAH JAMBATAN

DUNIA hiburan tanah air sekitar tujuh tahun lalu gempar apabila kisah hidup Ben yang menjadi gelandangan, tular dan menarik perhatian masyarakat.

Laporan media telah membuka mata orang ramai tentang nasib penyanyi itu yang selama lebih 20 tahun hidup merempat sehingga terpaksa tidur di bawah jambatan dan di kaki jalan.

Keadaan yang menimpa Ben berpunca daripada tekanan hidup yang dihadapinya ketika mencipta nama sebagai penyanyi dua dekad yang lalu.

Selain ditipu pihak tidak bertanggungjawab, kegagalan dalam percintaan dengan seorang artis tempatan yang tidak didedahkan identitinya juga memberi tekanan sehingga memaksa beliau menghilangkan diri dari dunia hiburan pada tahun 1989 sebelum ditemukan menjadi gelandangan 28 tahun kemudiannya.

Antara rakan artis yang bersungguh-sungguh mencari Ben adalah DJ Dave yang sebelum ini sentiasa berterusan menjejaki keberadaannya.

Katanya, selepas Ben berjaya ditemukan pada 2017, beliau berulang kali cuba memujuk penyanyi tersebut untuk keluar dari kehidupan sebagai gelandangan dan kembali membina kehidupan yang lebih baik dengan kembali menyanyi.

“Lebih 20 tahun dia hidup merempat, tidur di kaki jalan dan bawah jambatan. Itu belum lagi pelbagai tuduhan dilemparkan masyarakat, antaranya yang memfitnah dia mengambil bahan terlarang selain menganggap dia tidak waras.

“Sebagai sahabat, saya simpati dengan nasibnya dan kerana itu saya bertekad untuk membantu dia membina kehidupan yang lebih baik.

“Saya bersyukur kerana usaha itu berhasil. Keluarganya pun tak pernah mengabaikan beliau, malah sampai hari ini tidak pernah berputus asa memberikan sokongan, menjaganya agar dia tidak lagi kehilangan arah,” kata DJ Dave.

Kata beliau, usaha untuk memujuk Ben kembali menjadi penyanyi bukan perkara mudah kerana memerlukan kesabaran dalam berdepan dengan kedegilan penyanyi itu yang sebelum ini mahu terus hidup di jalanan.

“Pertama kali saya berjumpa semula dengan Ben adalah pada tahun 2017 di sebuah lokasi di ibu kota. Saya terkejut kerana dia masih kenal saya. Terbukti dia tidak gila seperti didakwa.

“Beberapa kali saya pujuk dia untuk kembali ke pangkuan keluarga dan membina semula kehidupannya. Ia bukan proses yang sekejap kerana selepas itu dia gagal dikesan semula.

“Sehinggalah saya bertemunya semula di Brickfield dan berjaya meyakinkan dia untuk tidak lagi menjadi gelandangan.

“Selepas itu saya terus bawa dia ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Hasil saringan membuktikan dia tidak ambil dadah dan tidak gila. Cuma mengalami gangguan mental yang diistilahkan sebagai skizofrenia,” ceritanya.

DJ Dave dalam pada itu bersyukur kerana segala iktihar yang diusahakannya bersama rakan lain yang prihatin kepada nasib Ben, berhasil.

Beliau juga lega kerana Ben kini kembali bersemangat untuk aktif semula menyanyi, bermula dengan single terbarunya berjudul Kebahagianmu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya