Pelakon Asia yang pernah memenangi Anugerah Oscar - Utusan Malaysia

Pelakon Asia yang pernah memenangi Anugerah Oscar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN lalu menyaksikan keputusan Anugerah Akademi Oscar yang paling mengujakan apabila anak kelahiran Ipoh, Perak, Tan Sri Michelle Yeoh dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Filem.

Michelle Yeoh dianugerahkan trofi itu atas persembahannya dalam filem Everything Everywhere All at Once menerusi watak Evelyn Quan Wang.

Bagi meraikan keputusan Anugerah Akademi Oscar 2024 yang bakal berlangsung esok, mari kita senaraikan beberapa pelakon Asia yang pernah membawa pulang trofi di anugerah berprestij itu selain Michelle Yeoh.

Miyoshi Umeki

Merupakan pelakon Asia pertama yang pernah menggenggam trofi di Anugerah Oscar. Umeki mencipta rekod itu pada tahun 1957 dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita menerusi filem Sayonara. Dalam filem tersebut, Umeki melakonkan watak Katsumi seorang perempuan taat kepada suami yang merupakan juruterbang pesawat kepada tentera Amerika Syarikat.

Umeki menerima trofi itu dalam pakaian kimono. Sayangnya, Umeki tidak menyampaikan ucapan kemenangan yang panjang kerana masalah kekangan bahasa.

Ben Kingsley

Kingsley atau nama sebenarnya Krishna Pandit Bhanji merupakan pelakon British-India yang pernah membawa pulang trofi anugerah Oscar pada tahun 1983. Kingsley dianugerahkan Pelakon Terbaik menerusi lakonannya sebagai tokoh revolusi, Mahatma Gandhi menerusi filem biografi Gandhi.

Walaupun banyak pelakon pernah membawakan watak tersebut seperti Naseeruddin Shah dan Darshan Jariwala, namun pada pandangan masyarakat India, lakonan Kingsley adalah yang paling menjadi.

Ketika penggambaran filem Gandhi, masyarakat India menganggap pelakon itu seperti jelmaan mendiang Gandhi kerana wajahnya yang sangat seiras. Lebih 400,000 warganegara India hadir semasa penggambaran babak pengebumian Gandhi. Pihak produksi tidak menggunakan apa-apa imej janaan komputer untuk babak itu.

Haing S. Ngor

Ngor pelakon asal Kemboja, pernah membawa pulang trofi bagi kategori Pelakon Pembantu Terbaik bagi filem The Killing Fields pada tahun 1984. Dalam filem itu, Ngor membawakan watak seorang wartawan dan pelarian, Dith Pran di bawah kekuasaan rejim Khmer Rougbe di Kemboja.

Ngor kemudian berpindah ke Amerika Syarikat dan masih lantang mengkritik pemimpin tirani di Kemboja, Pol Pot.

Malangnya, pada tahun 1966, Ngor disahkan dibunuh di kediamannya di Los Angeles. Khabar angin mengatakan punca pembunuhan adalah disebabkan peranannya dalam filem tersebut dan kelantangannya mengkritik negara asalnya itu.

Yuh Jung Youn

Pada tahun 2021, pelakon, Yuh membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Terbaik menerusi filem Minari. Yuh membawakan watak Soonja menceritakan keluarga asal Korea Selatan yang berpindah ke Arkansas, Amerika Syarikat bagi mewujudkan impian mereka. Lakonannya sebagai nenek sangat menyentuh hati dan melayakkannya memenangi anugerah Oscar.

Ke Huy Quan

Beraksi di filem yang sama dengan Michelle Yeoh. Quan dianugerahkan trofi Pelakon Pembantu terbaik dalam filem Everything Everywhere All at Once. Quan dikenali menerusi filem hit 80-an iaitu Indiana Jones. Menurut Quan, dalam tempoh 10 tahun ini, dia berhadapan dengan banyak cabaran dan kesukaran untuk mengekalkan minat dan kerjayanya sebagai pelakon.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya