Dengarlah Mafidz, semua orang, dengarlah Mafidz!

Dengarlah Mafidz, semua orang, dengarlah Mafidz!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAFIDZ membawa saya kembali ke 2020. Fasa awal Rondivu, jiwa saya hangat dengan api perjuangan. Urgh, loya nak tulis tapi itulah saya empat tahun lepas.

Waktu itu, saya berkobar-kobar mahu beritahu setiap seorang dalam populasi lebih 30 juta rakyat Malaysia yang ada banyak bakat muzik hebat dalam lapangan independen. Tiap patah kata yang ditulis ialah rayuan supaya seluruh masyarakat mendengar muzik alternatif.

Saya macam Martin Luther King yang berdiri di balik rostrum, bercerita tentang mimpi sambil tercengeng-cengeng. “Dengarlah lagu ini, dengarlah lagu itu,” rayu saya yang naif.

Situasi berubah dan pemikiran saya pun berubah. Perjuangan dan rayuan sudah jadi absurd.

Tapi 11 trek Teleportasi datang bentuk seorang ibu bergaun putih. Tubuhnya bukan pejal tetapi cahaya. Dia datang mengusap dahi saya, beritahu yang, “Syafiq, tak salah untuk jadi naif sekali-sekala.”

Maka, bersedialah. Syafiq yang naif akan mengambil alih papan kekunci. Buka telinga dan hati untuk rayuan naif ini.

Siling kaca independen

Mafidz sebuah kugiran folk-pop, wajah utamanya tiga beradik: Megat Hafidz (vokal), Megat Aizzat (vokal, gitar) dan Megat Fazly (vokal, piano).

Ada lima lagi ahli mereka: Khairul S. (gitar elektrik), Mariamlisa (cello), Khairul Amirin (perkusi), Ahmad Zakri (bass) dan Abbas Munawwar (dram).

Album pertama mereka dilancarkan pada 2018, bertajuk Ada Angin & Hati. Nama mereka terus melonjak tetapi macam biasa, lonjakannya terkongkong di bawah siling kaca muzik independen.

Mereka sudah buat persembahan di Indonesia malah Amerika Syarikat tapi jentera industri muzik arus perdana masih tak begitu peduli.

Selepas enam tahun, mereka muncul dengan album kedua, Teleportasi. Perasa folk dikekalkan sebagai teras tetapi perasa pop ditambah, sebahagian besarnya dengan kehadiran Abbas di posisi dram.

Menolak cengeng

Apa bezanya pengalaman mendengar Mafidz dengan mendengar Aina Abdul, Hael Husaini atau Ernie Zakri?

Tak banyak, cuma untuk mereka yang sudah terbiasa mendengar muzik tajaan radio dan televisyen, ada sedikit cabaran. Anda mungkin pelik mendengar bunyi-bunyi instrumen yang diadun hampir sekata dengan vokal. Atau ada ketika, melodinya agak di luar kebiasaan.

Tapi ia tidaklah sangat-sangat aneh. Pop mereka mudah didengar dan vokal mereka – ketiga-tiga mereka – sedap dan merdu.

Tidak ada alasan sebenarnya untuk kugiran sebaik ini tidak diberi platform dalam industri. Mereka lengkap serba-serbi.

Maka, saya berdiri di balik rostrum ini, bercerita tentang mimpi dan berusaha sebaiknya untuk tidak cengeng, menyeru anda semua untuk memberi peluang kepada Mafidz.

Dengarlah lagu mereka. Belilah album mereka. Jemput mereka buat persembahan dalam festival besar. Tayangkan persembahan mereka dalam televisyen. Putar lagu mereka di radio.

Mafidz lawan Mafidz

Teleportasi tidak gagal sebagai album kedua Mafidz dan percayalah, tak mudah untuk tidak gagal.

Sebab Mafidz perlu bersaing dengan bakat yang sangat hebat dan hampir sempurna, iaitu Mafidz pada 2018.

Mereka perlu bersaing dengan diri mereka yang sebelumnya — Mafidz yang muda dan berkobar, Megat Aizzat yang belum dukung anak, Megat Hafidz yang masih bujang dan Megat Fazly yang belum rilis lagu untuk kekasih secara rasmi.

Teleportasi berjaya, saya kira, sebab ia membuka ruang teroka yang baharu untuk peminat-peminat. Mereka masih memujuk rajuk, masih bercerita tentang lena dan igau tetapi bentuknya lebih sofistikated.

Bunyinya lebih penuh, soniknya tebal dan bervariasi. Malah, warna vokal Megat Hafidz, Megat Aizzat dan Megat Fazly juga lebih pelbagai.

Album kedua sebegini mungkin yang paling seimbang untuk pengkarya dan pendengar.

Ia tidak begitu banyak berbeza sehingga mengecewakan peminat yang nostalgik, namun masih tumbuh dan berkembang, seperti yang sering dimahukan pengkarya sendiri.

Saya yakin, Mafidz ada ramai peminat yang meminati mereka bersungguh-sungguh. Saya harap, peminat mereka ini akan menjadi lebah yang menyebar debunga; bawa mulut tentang Mafidz kepada kawan pejabat, rakan sepengajian, pensyarah, ahli jawatankuasa kemajuan kampung, pengawal keselamatan, ipar duai dan seluruh kenalan.

Dan juga yang tak kurang penting, beli album fizikal mereka. Ini sumber pendapatan utama mereka sebab korporat platform penstriman ialah pemodal kedek. Bayar ciput. Beli terus album dari mereka supaya lebih banyak karya dapat dibikin demi kemaslahatan seluruh warga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya