‘KENA tolak banyak kali pun saya tidak mengalah.”
Demikian semangat pempengaruh dan pelakon baharu, Imranul Effendy, 26, walaupun berkali-kali namanya gagal lolos selepas menjalani uji bakat lakonan.
Membesar dengan naskhah lakonan Shah Rukh Khan (SRK) membuatkan jejaka kelahiran Negeri Sembilan ini mula menanam azam untuk tampil di layar.
“Saya dari kecil tengok semua filem Shah Rukh Khan. Apa yang saya suka mengenai beliau ialah dia pelakon yang sangat berkarisma dan boleh membawakan banyak jenis watak.
“Walaupun SRK dikenali dengan banyak filem romantis namun dia juga sangat hebat membawakan karakter antagonis,” katanya.
Imran masih ingat pertama kali dirinya diterima berlakon adalah pada tahun 2020, untuk watak hantu dalam naskhah Wayang Puaka.
“Lakonan pertama saya adalah watak hantu dalam sebuah cerita seram bertajuk Wayang Puaka.
“Itulah kenangan yang tak boleh saya lupakan, bayangkan saya perlu tunggu lama untuk bersolek karakter tersebut,” katanya.
Dia mengakui bukan mudah untuk menapak dalam dunia hiburan, oleh itu, Imran mencari cara lain mendekati industri lakon layar melalui bidang solekan.
“Sebelum ini saya bertugas sebagai jurusolek kesan khas untuk Nadhir Nasar dan Mierul Aiman semasa Projek: High Council.
“Saya mula belajar melalui pemerhatian dan bertanya sedikit sebanyak kepada mereka yang berpengalaman mengenai industri hiburan.
“Dari situ saya faham bahawa pelakon yang baik ialah seseorang yang komited terhadap kerja dan menjaga disiplin terutama dari segi masa,” katanya yang teringin membawakan watak antagonis.
Menjadi pempengaruh dengan jumlah pengikut lebih 200,000 di Instagram membuatkan Imran berpengalaman berhadapan dengan kontroversi.
“Saya seorang penari dan kerap mendapat kecaman. Mungkin kerana orang kita kurang terdedah dengan konsep tarian.
“Namun saya tahu, dalam keadaan begitu, saya perlu mengendalikan emosi. Sebagai manusia, kita tidak akan mampu untuk memuaskan hati orang. “
Asalkan saya tahu, saya tidak buat salah. Cukuplah sekadar tidak terlalu memikirkan katakata orang.
“Namun begitu, kalau boleh, saya enggan naik kerana kontroversi,” katanya yang pernah bekerjasama mengendalikan tarian untuk penyanyi, Tuju.
Terdahulu, Imran dinobatkan sebagai juara kategori pasukan Battleground Malaysia: Road To Gold, tahun lalu.










