“Lambat laun, fasa bersara itu pasti tiba juga…” - Utusan Malaysia

“Lambat laun, fasa bersara itu pasti tiba juga…”

siti nurhaliza
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTAMA kali mendengar lagi Ku Sedari dari album Sitism, ada sesuatu yang menerawang dalam kotak fikiran. Setiap bait-bait lirik bercerita, sukarnya berdiri sebagai Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Benar, setiap manusia punya garis masa sendiri. Tidak sama dengan yang lainnya. Tetapi apa sahaja yang dilalui, pasti dalam batas mampu kita sendiri. Begitulah cara kita memujuk diri, bersangka baik.

Tidak usah kita bercerita tentang sejarah seorang Siti Nurhaliza. Semua tahu, dia bukan lahir bersudukan perak. Perjalanannya dalam belantara seni juga tidak sentiasa lancar. Umpama biru samudera, ada ombak dan badainya.

“Saya berasal dari keluarga sederhana, datang ke Kuala Lumpur menaiki bas dari Kuala Lipis seorang diri dan abang saya menunggu di stesen bas Pekeliling. Saya bermula dengan tiada apa-apa.

“Tetapi sentiasa berusaha untuk membantu keluarga dan mencapai cita-cita. Barangkali orang hanya melihat kejayaan seseorang tetapi di sebalik menuju ke arah tersebut, pastinya banyak onak duri yang harus dihadapi.

“Cabaran setiap orang tidak sama dan tidak ada had masa untuk melepasi dugaan. Zaman ini juga saya masih akur diuji dan diduga tetapi berkat pengalaman 28 tahun dalam bidang ini, saya semakin matang menanganinya,” katanya memulakan bicara.

Melepasi pelbagai badai fitnah dan tohmahan, biduanita seni ini masih teguh berdiri. Dia tahu, tidak mungkin dia dapat melarikan diri daripada pelbagai dugaan yang mungkin tidak pernah sekali terlintas di fikirannya.

Anak seni itu ibarat naskhah yang terbuka, mengizinkan sesiapa sahaja membaca. Namun setiap mereka masih ada rahsia, yang harus dijaga. Itu lumrah manusia, jauh daripada kesempurnaan yang diharapkan.

“Kalau hendak diceritakan, banyak pengalaman pahit yang saya lalui, namun saya berpegang kepada, jika ada sesuatu yang berlaku sama ada kontroversi, gosip, fitnah, saya tidak mencipta perkara tersebut.

“Saya seboleh mungkin cuba menjaga nama baik kerana tanggungjawab sebagai public figure itu besar. Saya tidak dapat lari dengan dugaan-dugaan ini tetapi harus bersedia dengan apa jua kemungkinan.

“Namun sebagai manusia yang diberikan akal dan mengingati kita sesama makhluk Allah, kecil sangat diri kita ini untuk bercakap, menyebar dan menimbulkan hal-hal yang mengakibatkan impak buruk kepada orang lain,”ujarnya.


TIADA SESAL, KECEWA

Bergelar penyanyi nombor satu negara juga bukan satu tugas mudah. Walau tidak pernah sekalipun dia mendabik dada, tetapi hakikatnya ada beban yang diletakkan untuk dia sentiasa terlihat ‘sempurna’.

Lantas saya ajukan soalan, tatkala badai ujian datang menghempas, di mana dia sandarkan kekecewaan dan meraih harapan? Di mana dahan kekuatan penyanyi lagu Bukan Cinta Biasa ini berpaut?

“Saya ikhlas. Seringkas itu ungkapan saya. Ikhlas menerima, ikhlas memaafkan sebagaimana saya ikhlas melakukan setiap peranan sama ada dalam kehidupan dan kerjaya.

“Saya tak mampu menutup mulut orang untuk bercakap, menghentikan tangan orang untuk menulis atau membersihkan hati dan minda orang. Jujur, saya tidak mampu.

“Apa yang saya mampu adalah, menasihat diri teruslah berbuat baik, jalankan tanggungjawab dan kerja kerana Allah Maha Mengetahui dan itulah sebaik-baik pelindung kita,”kongsinya.

Namun adakah satu hari nanti, ibu kepada dua cahaya mata ini bakal perlahan-lahan meninggalkan jejak dalam dunia seni? Adakah frasa bersara itu sudah mula menari-nari dalam kotak akalnya?

Siapa tahu, menghampiri tiga dekad mengabdikan diri untuk cinta seninya, satu hari mungkin akan tiba juga saat dia melambaikan tangan tanda selamat tinggal. Berehat bersama jasa bakti yang tidak terperi banyaknya.

“Saya tidak boleh merasa menyesal kerana jalur hidup ini adalah ketetapan Allah buat saya. Menerusi bidang seni ini, saya mahu memberi manfaat dan positiviti kepada masyarakat dengan cara tersendiri.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku ke hadapan ini. Saya boleh merancang tetapi Allah yang akan menentukan. Setiap nikmat yang Allah berikan selama ini amat disyukuri dan saya menerima segala ketentuan-Nya.

“Saya juga tahu, lambat laun masanya akan tiba. Perlahan-lahan pasti saya ke arah itu (bersara) juga suatu hari nanti. Apa jua yang datang, direzekikan dan dipertemukan dengan saya selama 28 tahun ini bagi saya adalah pengalaman dan pengajaran,”katanya.

 

BAKAT, ADAB DAN USAHA

Menjadi kanvas tatapan pendatang baharu dalam dunia muzik, mogul seni ini sendiri mengakui, industri kreatif tempatan mempunyai pelapis yang berbakat besar. Jika roda usaha diputar sekuatnya, pasti akan sampai kejayaan yang dituju.

Lantas sengaja saya mengusik, siapa di antara pelapis baharu yang dilihat mampu meneruskan legasinya? Sudilah kiranya untuk dia menyebut beberapa nama, namun ternyata dia tidak pilih kasih.

“Jujurnya, saya gembira. Kita ada ramai pendatang yang berbakat. Teruslah berusaha. Apa yang penting selain bakat, sikap pandai membawa diri, adab dan sebagainya harus dijaga.

“Menjadi idola atau public figure, kita harus memberikan impak positif kepada masyarakat. Saya tidak boleh namakan satu-satu tetapi bagi saya, setiap orang akan ada ‘masa’ nya nanti,” ujarnya.

Di kala ini juga, riuh menjadi perdebatan adalah kelompok tertentu peminat-peminat segelintir artis yang sibuk membanding-banding kejayaan kesayangan mereka. Beberapa kali juga nama biduanita ini disebut-sebut.

Budaya tersebut seolah-olah semakin bercambah. Tatkala artis kesayangan mereka tampil dengan kejayaan terkini, ada sahaja kelompok ‘peminat’ yang cuba mengusik peminat setia artis lain.

Sebagai artis terutamanya kepada peminat saya, Sitizoners, saya dan pengurusan akan menasihatkan agar menjaga nama baik, tidak menyentuh hal artis lain atau bertelagah. Ini memang diketahui peminat-peminat saya.

“Nasihat saya, saling menghargai dan menyokong bakat setiap artis. Peminat bertelagah akan memberi kesan negatif kepada artis. Saya akui, adakala peminat mahu membela artis kesayangan mereka tetapi lakukanlah dengan cara lebih berhemah.

“Saya yakin Sitizoner tahu peranan mereka kerana setiap tahun kami ada pertemuan dan ikrar, tinggal lagi saya tidak mampu kawal semuanya jika ada hal-hal negatif dan niat setiap orang juga tidak kita ketahui,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya