KETIKA keluarga siri lagu Aziem Rashidi membuat persediaan pelancaran penutup trilogi siri tersebut,
Tulisan Nasib Kita, ada ribut datang mengacau. Melalui Instagram, Warner Music Malaysia memuat naik video acah tentang artis baharunya, Ki Misri.
Video tersebut mengandungi klip Ki Misri menyanyikan lagu kedua dalam trilogi tersebut, Tentang Siang, Malam dan Romantis.
Penyanyi baharu itu memang terkenal dengan saduran tersebut. Dalam mana-mana media sosial, terutamanya TikTok, suara dia menyanyikan korus “tenang ribut jiwa” diguna pakai.
Apabila Warner Music memuat naik video acah tersebut dengan kapsyen “coming soon”, pastinya ia mengelirukan.
Tanggapan pertama orang ramai ialah akan ada versi rakaman saduran itu diterbitkan. Maklumat dalam video itu sangat minimum.
Sudah menjadi resmi, kelompongan maklumat mengundang spekulasi.
SEKADAR PROMOSI
Selepas komposer, penyanyi dan peminat lagu asal menuntut penjelasan (termasuk juga kata-kata kesat yang dilempar warganet), barulah kita tahu, itu sekadar usaha Warner Music memperkenalkan artis baharu mereka.
Beberapa media memetik penjelasan rasmi mereka. Rupanya Ki Misri akan tampil dengan lagu baharu, bukan saduran Tentang Siang, Malam dan Romantis.
Namun, itu tidak cukup untuk meredam ribut jiwa yang mengacau. Jika mahu promosi pun, kenapa guna klip saduran itu semata-mata dalam satu video?
Kenapa maklumatnya terlalu sedikit? Lebih dikesali, kenapa tiada usaha dari media yang membuat liputan untuk mendapatkan cerita dari pihak Aziem, Ainina Hasnul dan Teman Lelaki?
TERPINGGIR
Ketika bertemu ketiga-tiga mereka, usaha untuk mengorek jawapan tentang isu ini agak sukar.
Pertama, mereka mahu lebih menumpukan promosi Tulisan Nasib Kita. Itu lebih penting. Kedua, mereka tidak mahu memanjangkan isu.
Mereka juga tak mahu kelihatan menuding jari, mencari salah sesiapa. Itu bukan tujuan segala hal ini dibangkitkan.
“Cuma media-media yang buat liputan tak ada yang cari kami dan minta penjelasan kami,” keluh Ainina.
Bagi Eidi, sepatutnya isu ini dikendali dengan adil dan tidak berat sebelah.
“Adakah kerana kami ini independen, mereka tak boleh nak cari kami?
“Adakah kami berada pada tahap yang tak perlu dihormati?” Soalnya.
CUMA TERKEJUT
Bagi Aziem, apa yang terjadi adalah mengejutkan dan reaksi mereka di media sosial merupakan reaksi yang spontan.
“Kami terperanjat sebenarnya sebab tak pernah terjadi pada kami sebelum ini.
“Mungkin kami sedang menyerap, beginilah industri kita. Kami susah nak terima (pada awalnya) sebab kami pun baru belajar.
“Aku cuba pujuk diri aku sendiri, mungkin memang begini caranya. Tapi alhamdulillah, aku diberitahu ada undang-undang yang melarang penerbitan semula lagu tanpa izin komposer,” jelasnya.
Ainina, Teman Lelaki malah Aziem sendiri bukanlah asing dalam saduran lagu. Mereka sendiri banyak menyadur lagu artis lain sebagai tanda penghargaan kepada karya tersebut.
Namun, untuk menerbitkan semula lagu tersebut, ia sudah jadi isu lain.
“Akhirnya, kita kembali pada budi bicara,” kata Ainina yang kemudiannya dicelah Aziem: “secara adab, kemanusiaannya, betul ke apa yang dibuat? Kalau berbincang elok-elok, tak ada masalah.”
“Mereka ada hubungi sebelum ini tetapi aku sibuk, tiba-tiba keluar (video acah). Aku terperanjat.”
MACAM ANAK
Hakikat bahawa saduran Ki Misri lebih popular berbanding nyanyian asal Ainina Hasnul dan Teman Lelaki diterima dengan damai oleh mereka. Memang resminya begitu, hal populariti memang sukar dijangka.
Selama saduran itu wujud pun, mereka bertiga tidak pernah ada masalah. Ia dianggap sebagai penghargaan tinggi terhadap karya mereka.
Namun untuk mengizinkan lagu itu dirakam semula dan diterbitkan secara rasmi, mereka belum bersedia.
“Apabila karya itu dihasilkan, lebih-lebih lagi secara independen, sayang kita lebih lagi. Macam (sayang pada) anak.
“Semua kami buat sendiri, dengan kawan-kawan, prosesnya sangat intim. Jadi, sayang itu lain sikit,” kata Ainina.
“Mungkin, kami terlalu sayang pada lagu ini,” kata Aziem.
Bagi Eidi, mungkin kerana kekurangan dari segi pemasaran, hasil saduran itu yang lebih popular.
“Kalau kami buat pemasaran bersungguh-sungguh pada awal dulu, mungkin kami yang popular.
“Tapi kami tetap berterima kasih sebab popularkan lagu ini,” jelasnya.
Akhirnya, ia tetap kembali pada cita rasa pendengar. Anda suka versi asal atau saduran, terpulang. Cuma rekod yang akan kekal selamanya, lagu dengan bait melodi yang indah dan nyanyian berkimia itu adalah karya asal Aziem Rashidi, Ainina Hasnul dan Teman Lelaki.
Hakikat ini telah terpahat dalam pelbagai dokumentasi. Mereka punya hak, mereka juga pengkarya.
Apa-apa yang mahu dibuat dengan karya itu, seharusnya mendapat izin mereka dan lebih penting, tidak mengguris hati mereka. – MINGGUAN MALAYSIA










