Bukan anak emas penerbit, stesen TV - Nad Zainal - Utusan Malaysia

Bukan anak emas penerbit, stesen TV – Nad Zainal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Industri seni tanah air memiliki ramai pelakon hebat. Begitu juga penghias sampul hadapan Pancaindera kali ini yang berada pada liga tersendiri. Dia dilahirkan untuk menjadi pelakon.

Kemampuan Nad Zainal menghayati watak tidak boleh disangkal. Ramai pelakon, baru atau yang seangkatan dengannya menjadikan dia sebagai inspirasi dan penanda aras.

Mungkin kerana itu Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin sering menjadi rebutan penerbit dan stesen televisyen (TV).

Namun, ada segelintir yang menyalah ertikan perkara tersebut dan menabur persepsi sehingga mengklasifikasikan ibu dua cahaya mata ini sebagai ‘anak emas’ pihak tertentu dalam industri filem dan drama.

Nad tampil ‘mencantas’ pandangan dangkal itu. Apabila dilayangkan pertanyaan tentang perkara tersebut, dia lantang menegaskan, soal menjadi anak emas tidak wujud.

“Saya tak rasa begitu . Kebetulan, projek yang ditawarkan kena dengan masa. Kita ini ada tarikh yang boleh buat dan tak boleh. Mungkin naskhah itu kena dengan jadual saya, jadi nampak saya bekerja back to back dengan syarikat produksi yang sama.

“Saya tegaskan di sini, saya bukanlah pilihan utama untuk drama Dendam Seorang Isteri dan Takdir Yang tertulis. Projek yang seterusnya nanti, ya, itu tawaran pertama yang menjadikan saya pilihan utama.

“Semua ini berlaku secara kebetulan. Kalau ada yang menyangka saya ini pelakon kegemaran stesen TV, itu tidak betul. Kerap nampak muka saya di TV mungkin sebab drama itu dah lama tertangguh, baru ditayangkan atau susunan tayangannya sebegitu,” jelasnya.

Pelakon Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin 2018 ini bagaimanapun tidak merasakan dia perlu beria-ia untuk menjelaskan perkara itu kepada umum. Jauh sekali dia terkesan dengan pandangan sedemikian.

Katanya, tanggapan orang biarlah tinggal dan kekal sebagai tanggapan yang mana, satu masa nanti berlalu pergi.

“Saya percaya pada rezeki. Mereka tak kenal kita secara peribadi dan kita tak ada masa untuk jelaskan satu persatu.

“Saya tidak terkesan. Tak ada lagi mana-mana individu yang bertanyakan perkara ini depan-depan. Saya anggap ia sekadar gosip biasa yang orang hendak tahu. Saya harap mereka faham.

“Saya gembira, ada rezeki. Boleh kongsi dengan keluarga, cukuplah. Tanggapan orang? Terpulang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nad memberitahu lakonan adalah punca rezeki yang menampung kehidupan dia dan keluarga. Justeru, dia amat mensyukuri nikmat yang diberikan dan tidak sesekali mengambil ringan soal kerja lakonan.

“Semua pelakon sama, setiap tawaran yang diberikan, semua nak berikan yang terbaik. Kalau boleh tak mahu watak sama, tak nak distereotaipkan. Bukan saya sahaja, mana-mana pelakon pun akan risau.

“Ini adalah punca rezeki. Kalau watak tak menjadi, orang akan tengok siapa pelakon itu, kemudian baru pengarah. Bukan terus ke skrip.

“Pelakon yang bagus dapat menyelamatkan cerita. Tak kisahlah, apa juga watak yang diberikan, saya mesti nak buat sehabis baik. Orang dah bayar kita. Ini punca rezeki saya. Saya kena jaga periuk nasi,” kongsinya.

Kecaman gara-gara lakonan menjadi
“Ada yang mendoakan saya mati cepat,” itu antara ancaman diterima pelakon cantik ini hanya kerana watak antagonis yang dilakonkannya ‘menjadi’ dan memberi kesan kepada emosi penonton.

Kata Nad, perkara itu sudah menjadi satu kebiasaan yang dihadapinya sebagai seorang pelakon. Apa pun juga, dia tetap berterima kasih kerana penonton menghargai lakonan walau dengan cara apa sekalipun.

“Memanglah kemarahan mereka ditujukan kepada watak itu. Tetapi kadang kala, mereka tak guna nama watak, sebaliknya nama saya. Takut juga, sebab orang mendoakan benda-benda begitu.

“Tetapi pada masa sama, saya gembira. Mereka terbawa-bawa emosi itu. Bila berjumpa penonton, ramai yang akan sapa saya dengan nama watak. Saya rasa disayangi, walaupun ada dalam kalangan mereka yang geram dengan lakonan saya, mereka tetap gembira.

“Tak kisahlah. Terbawa-bawa emosi itu perkara biasa. Saya pun suka menonton drama di TV. Jadi saya faham perasaan mereka,” katanya.

Pada masa sama, Nad juga lega kerana setakat ini dia belum pernah berdepan ancaman berat yang mengganggu keselamatannya gara-gara lakonannya.

“Saya tak pernah jumpa lagi peminat yang betul-betul fanatik yang mengancam hendak pukul atau apa. Kerisauan dari sudut itu tak ada.

“Cuma, bila ada yang komen di Instagram, saya akan ucapkan terima kasih dan terangkan sedikit tentang watak tersebut. Saya tidak akan lupa untuk berpesan kepada penonton agar jangan terbawa-bawa dengan emosi. Kami hanya berlakon.

“Alhamdulillah setakat ini ramai yang memaklumkan mereka faham situasi,” terangnya lagi.

Trofi bukan segala-galanya
Bercerita tentang anugerah dan pencapaian, Nad Zainal tidak menidakkan perkara itu terhadap kerjaya seorang pelakon.

Katanya, kemenangan anugerah dan trofi adalah penting untuk seseorang pelakon itu untuk pergi lebih jauh.

“Trofi dan penganugerahan sedikit sebanyak berperanan sebagai kad laporan bagi pencapaian kita sebagai pelakon. Penting untuk orang menilai pencapaian dalam bidang yang diceburi.

“Pada saya, kalau tak menang satu-satu anugerah, tersenarai antara yang terbaik pun sudah cukup bagus.

“Tentunya saya gembira kalau terima anugerah. Tipulah kalau kata tidak. Cuma apa yang saya khuatiri, masyarakat menilai hanya pada sudut itu. Kalau kita tak menang anugerah, orang akan kata lakonan sudah tidak menjadi. Itu yang saya risaukan,” ujarnya.

Namun pelakon drama Dendam Seorang Isteri ini tidak meletakkan anugerah dan penghargaan sebagai satu keutamaan. Sebaliknya, lebih memandang kualiti kerja dan komitmen yang berpanjangan dalam lakonan yang dipersembahkan.

“Penganugerahan bukan segala-galanya. Ibarat seorang pelajar yang cemerlang ketika menuntut di sekolah menengah, namun gagal di peringkat pengajian tinggi.

“Sebagai pelakon, yang paling penting adalah untuk terus kekal relevan dalam industri. Apa lagi yang ingin seorang pelakon itu buktikan dalam hasil kerja mereka? Itu sebenarnya yang paling utama,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya