
KUNJUNGAN krew Mingguan Malaysia ke restoran Homst Recipe, cawangan Cyberjaya baru-baru ini ternyata berbaloi.
Disambut Pengurus Cawangan, Sazwinalaila Mohd. Zainal, 27, yang sangat mesra dan peramah, pihak restoran menyajikan tidak kurang 10 menu popular yang semuanya enak-enak belaka.
HAMPIR 400 MENU
Homst Recipe nama yang tidak asing bagi penggemar makanan berkonsepkan Cina Muslim.
Menurut Sazwinalaila, cawangan pertama dibuka di Taman Tun Dr. Ismail kira-kira 20 tahun lalu.

“Susulan sambutan amat menggalakkan, akhirnya kini kami memiliki lapan cawangan seluruh Lembah Klang. Cawangan di Cyberjaya ini, dibuka pada 2014 sebagai memenuhi permintaan warga Cyberjaya untuk menikmati hidangan autentik Cina Muslim,” katanya.
Menurutnya, kekuatan jenama Homst sebagai peneraju industri restoran Cina Muslim, terletak pada beberapa faktor.
Ini termasuk kualiti produk makanan laut, mutu dan gaya persembahan hidangan yang menarik serta rasa hidangan yang enak.
“Kami menawarkan hampir 400 hidangan dari pencuci mulut, minuman serta hidangan utama,” katanya.
SETENGAH TAN MAKANAN LAUT SEHARI
Katanya, susulan sambutan menggalakkan, dapur utama mengagihkan kira-kira 500 kilogram makanan laut pelbagai jenis setiap hari kepada lapan restoran.
“Setiap restoran, secara purata menggunakan kira-kira 20 kilogram makanan laut hidup setiap hari pada hari biasa manakala hujung minggu meningkat berganda,” jelasnya.
Katanya, permintaan yang tinggi itu susulan kualiti produk digunakan yang rata-rata makanan laut yang masih hidup.
“Kami menggunakan ikan hidup, termasuk kerapu dan siakap. Rasanya lebih pejal, manis dan segar.
“Begitu juga ketam nipah, kami menggunakan yang hidup. Oleh itu, rasa setiap hidangan berasaskan ketam dan ikan lebih segar dan lazat,” katanya.
MENAMBAR SELERA
Antara yang paling menambat selera semestinya itik salai ala Cina (smoked duck). Dihidangkan bersama mantou (roti paun kecil) yang lemak, keharuman daging itik diasap dengan sempurna, menyerlahkan rasa hidangan yang serba kaya itu.
Itiknya harum dan ada rasa ‘asap’ yang ringan. Dagingnya lembut dan wangi, barangkali diperap rempah rahsia yang menjadi trade secret.

Tidak ketinggalan menu daging kung pao. Menu yang popular itu menggunakan daging berkualiti, malah sangat lembut sehingga ibarat cair di mulut. Sos yang digunakan juga kaya dengan kepelbagaian rasa, dan diharumkan dengan penggunaan kacang gajus serta cili kering yang disangai.
Pada masa sama, kami turut disajikan dengan siakap stim asam yang memukau mata. Sos yang disadur kaya dengan rasa pedas-masam, dan memandangkan mereka menggunakan ikan siakap yang hidup, isinya sangat pejal dan manis.
Menu berasaskan sayuran juga sangat menambat selera, iaitu kailan istimewa yang digelar Kailan Ying Yang. Ia menyerlahkan kehebatan chefnya, yang mana sayur kailan digoreng jeluk manakala bahagian batangnya dicelur sebentar.

Kedua-duanya kemudian disadur sos istimewa yang kaya dengan rasa bawang putih, lantas menghasilkan satu menu unik, mengancam dan luar biasa. Selain itu, turut dihidangkan ketam kulit lembut disadur sos telur masin. Ketamnya segar dan besar-besar. Isinya juga padat. Ia disalut tepung rangup sebelum digoreng jeluk.
Kemudian, chef menyadur sos telur masin buatan sendiri, sekali gus menambah profil rasa hidangan itu menjadi luar biasa enaknya.
TEMPAH MEJA
Berikutan sambutan menggalakkan, disyorkan pelanggan, khususnya cawangan Cyberjaya membuat tempahan meja.
“Hujung minggu di restoran ini, pelanggan sangat padat,” jelasnya.












