Tiga hektar kawasan hutan Sungai Kelambu masih terbakar

Tiga hektar kawasan hutan Sungai Kelambu masih terbakar

Sungai Kelambu
PASUKAN penyelamat membuat pemantauan dan pemadaman api dekat kawasan Kompartmen 55, Hutan Simpan Kuala Langat Selatan dekat Sungai Kelambu yang terbakar, di Kuala Langat, Selangor, hari ini. - Gambar JBPM Selangor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Kira-kira 19 daripada 23 hektar kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS) dekat Sungai Kelambu di sini yang terbakar, berjaya dipadam sehingga pukul 8.30 pagi tadi.

Ketua Zon 5 (KLIA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba II, Mohamad Issmanto Md. Pono berkata, pasukan penyelamat sedang memadam kebakaran pada baki kira-kira tiga hektar kawasan tersebut.

“Kebakaran masih aktif dan hotspot kecil, namun tidak menjejaskan penempatan berhampiran dan loji rawatan air (LRA) berdekatan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Menurutnya, pasukan penyelamat, dipecahkan kepada tiga kumpulan yang membuat pemadaman di tiga lokasi berbeza.

“Strike Team A membuat pemadaman menggunakan satu aliran 300 kaki hos Wajax 2 pancutan pam Tohatsu air terbuka di sektor A. Strike Team B menggunakan satu aliran 200 kaki air tangki pam jentera bomba di sektor B.

“Strike Team C membuat pemantauan dan pemadaman menggunakan fire bitter di kawasan yang tiada akses bagi kenderaan di sektor C,” ujarnya.

Operasi pada hari ketiga itu melibatkan dua pegawai dan 33 anggota keseluruhan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting yang dibantu oleh agensi seperti Skuat Pasukan Tindakan Segera (Pantas) Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) seramai lima orang.

Turut serta, lima dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Tanah dan Daerah (lima orang), Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) (lima orang) dan Unit Pengurusan Bencana Selangor (tiga orang).

Utusan Malaysia hari ini melaporkan kebakaran yang berlaku di kawasan hutan simpan itu sejak tengah hari kelmarin melibatkan kawasan seluas seluas kira-kira 23 hektar atau bersamaan dengan 32 padang bola sepak.

Pengarah JPNS, Azhar Ahmad berkata, kawasan tersebut melibatkan sebahagian daripada HSKLS iaitu di Kompartment 55.

Ia juga dikategorikan sebagai hutan terosot yang musnah akibat kebakaran pada tahun 2021 serta 2023 dan kini hanya ditumbuhi resam dan lalang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN