Dua sahabat karib maut MPV bertembung lori

Dua sahabat karib maut MPV bertembung lori

ZURAIDA Hashim menunjukkan gambar Muhammad Fakhrur Razi Usri ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik HSJ, Pulau Pinang semalam. – UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: “Kalau arwah meninggal dunia dise­babkan sakit, maka kami sebagai keluarga boleh bersedia. Namun, apabila dia pergi de­ngan mengejut seperti ini, kami semua kena reda.”

Itu luahan Zuraida Hashim, 50, ibu kepada Muhammad Fakhrur Razi Usri, 31, salah seorang daripada dua mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan lori yang membawa muatan buah-buahan di Juru dekat sini, kelmarin.

Zuraida yang masih terkejut dengan tragedi itu berkata, Allahyarham bekerja sebagai pemandu bas dan menguruskan syarikat bas persiaran milik keluarga yang merupakan anak sulung harapan keluarga

“Kami sekeluarga reda de­ngan ketentuan ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ), semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.22 malam di Kilometer 141.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru, Toyota Estima dipandu oleh Muhammad Fakhrur Razi bertembung dengan sebuah lori.

Mangsa dan rakannya, Mohamad Nizar Abdul Rahman, 32, meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah manakala pemandu lori berusia 37 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, adik kepada Mohamad Nizar, Muhammad Hakim, 27, berkata, abangnya merupakan anak kedua daripada enam beradik dan bekerja sebagai pemandu lori.

“Mereka berdua memang kawan baik sudah lama. Malah, keluarga kami turut mengenali Muhammad Fakhrur Razi.

“Kedua-duanya bujang dan peribadi abang sememangnya seorang yang menyenangkan, periang dan rajin membantu keluarga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN