Meremang bulu roma lihat anak kecil terbaring, kaku - Saksi

Meremang bulu roma lihat anak kecil terbaring, kaku – Saksi

Kanak-kanak terjatuh
SEORANG kanak-kanak maut dipercayai terjatuh dari tingkat lapan sebuah blok dekat Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang, di Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Suasana di Pangsapuri Sri Perantau, Pelabuhan Klang, di sini kecoh apabila seorang kanak-kanak berusia empat tahun dilapor terjatuh dari rumah pengasuhnya dekat tingkat lapan kira-kira pukul 7.45 pagi, hari ini.

Menurut seorang saksi, Hana Yaakob, 50, ketika kejadian, dia mendengar jeritan seorang lelaki dewasa yang memaklumkan terdapat seorang budak terjatuh dekat kawasan tempat letak kereta di Blok J.

“Saya tinggal di blok sebelah (Blok K), ketika itu saya baru turun hendak pergi ke motosikal untuk hantar anak jiran ke sekolah. Tiba-tiba terdengar jeritan seorang lelaki di Blok J. Dia jerit anak siapa yang jatuh sambil menunjuk (ke arah lokasi kanak-kanak malang itu terbaring).

“Kemudian, saya terkejut melihat sekujur tubuh anak kecil yang terbaring kaku. Rasa terkejut dan tak sanggup tengok, saya terus hantar anak jiran pergi ke sekolah. Sampai sekarang masih terngiang-ngiang dalam fikiran situasi pada pagi tadi. Memang menggigil dan meremang bulu roma saya,” katanya ketika ditemui.

Berdasarkan maklumat daripada penduduk setempat, sebelum kejadian, kanak-kanak lelaki terbabit ketika itu sedang berada di rumah pengasuhnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamal Ariffin Aman Shah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah.

Sementara itu, anak lelaki pengasuh berkenaan yang berusia 12 tahun memberitahu dia amat terkilan dengan tragedi itu kerana menyifatkan kanak-kanak tersebut seperti adiknya sendiri.

“Ketika kejadian saya baru tiba di sekolah, kemudian ayah datang dan dalam keadaan merah matanya dan berair dia memberitahu adik jatuh. Saya kenal dia sejak bayi lagi, kemudian bila emak saya mengasuhnya, kami seperti adik beradik, bila balik sekolah dia akan bermain dengan saya.

“Lagi pun dia sangat rapat dengan ayah. Bila tidak bekerja dia mahu ayah yang memandikannya. Ayah pernah cakap, esok dia nak bawa adik pergi tengok burung. Emak pula sudah merancang hendak sambut hari lahirnya pada bulan Oktober nanti, tetapi sekarang dia dah tak ada,” luahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×