KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari balkoni kediamannya di tingkat 30 sebuah pangsapuri di Bukit Jalil di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.17 pagi daripada seorang lelaki berusia 49 tahun yang memaklumkan kejadian terbabit.
“Lelaki itu memaklumkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun dipercayai terjatuh dari balkoni tingkat 30 di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan proses bedah siasat dijadual dijalankan esok,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan. – UTUSAN