Belanjawan 2026 dijangka sokong agenda perindustrian, tarik FDI

Belanjawan 2026 dijangka sokong agenda perindustrian, tarik FDI

JAMIE Ling (tengah) bersama Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Phuah Shok Cheng (kiri) dan Ketua, Perhubungan Pelabur, Yeoh Ru Hann ketika sidang media Mesyuarat Agung Tahunan AMMB Holdings Berhad ke-34 di Pusat Konvensyen Sime Darby, semalam. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembentangan Belanjawan 2026 pada Oktober ini diharap memberi tumpuan kepada usaha menyokong agenda perindustrian negara dengan memanfaatkan peluang baharu susulan langkah Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif import.

Ketua Pegawai Eksekutif AMMB Holdings Bhd. (AmBank Group), Jamie Ling berkata, dasar yang mampu menggerakkan agenda perindustrian Malaysia ke hadapan amat penting memandangkan negara berpeluang besar menarik pelaburan asing yang sedang memindahkan operasi ke Asia.

“Justeru, apa-apa sahaja dasar yang menyokong hala tuju ini akan membantu menarik minat pelabur untuk menubuhkan perniagaan di Malaysia.

“Saya berpandangan, ini sebahagian daripada wishlist bagi memastikan Malaysia tidak terlepas peluang ketika tarif global mendorong syarikat menyesuaikan rantaian bekalan mereka. Malaysia mempunyai peluang yang besar untuk merebut bahagian perniagaan tersebut.

“Oleh itu, belanjawan yang bersifat pertumbuhan bagi menyokong hala tuju ini adalah amat strategik dari sudut pandangan Kementerian Kewangan dan kerajaan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-34 bank itu di sini, semalam.

Beliau berkata, bank berperanan sebagai penyerap kejutan ekonomi dan langkah pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bagi menyokong pinjaman serta keupayaan peminjam membayar balik adalah dialu-alukan, meskipun memberi kesan kepada margin faedah.

“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.4 peratus pada suku kedua merupakan perkembangan positif. Sekiranya sentimen bertambah baik pada separuh kedua, pertumbuhan dijangka lebih tinggi.

“Dasar-dasar sebegini jelas penting dari sudut kestabilan kewangan dan sokongan kepada ekonomi dalam persekitaran global yang semakin tidak menentu,” katanya.

Bagi tahun kewangan 2025 yang berakhir pada 31 Mac lalu, AmBank merekodkan keuntungan selapas cukai dan kepentingan minoriti berjumlah RM2 bilion dan memberikan dividen tunai sebanyak RM1 bilion.

Kadar pembayaran dividen dinaikkan kepada 50 peratus, daripada 40 peratus pada tahun kewangan 2024.

Sementara itu, beliau berkata, AmBank kekal di landasan untuk mencapai sasaran pulangan ekuiti (ROE) sebanyak 11 peratus menjelang 2029, berbanding kira-kira 10 peratus pada masa ini.

Jelasnya, pertumbuhan itu akan dipacu melalui pengembangan pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan korporat sederhana, pengukuhan pengurusan kekayaan, serta penambahbaikan prestasi perbankan runcit.

“Penjimatan kos semata-mata tidak mampan, sebaliknya kami melabur dalam teknologi, awan dan infrastruktur data bagi meningkatkan kecekapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN