Bantuan RM300 untuk mangsa banjir Masjid Tanah

Bantuan RM300 untuk mangsa banjir Masjid Tanah

AB. RAUF Yusoh meninjau situasi banjir di Pekan Masjid Tanah, Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan segera bernilai RM300 kepada mangsa banjir kilat di Masjid Tanah di sini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, menerusi peruntukan Tabung Bencana Negeri Melaka, sebanyak RM300 bakal disalurkan kepada setiap rumah yang mendaftar di pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, mangsa-mangsa banjir diminta segera mendaftar di PPS yang dibuka untuk urusan pendaftaran dan penyaluran bantuan.

“Saya minta semua mangsa banjir yang terjejas agar bertenang dan bersabar. Kerajaan negeri akan terus berusaha mencari penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah banjir di Masjid Tanah.

“Saya dan keluarga serta seluruh pentadbiran kerajaan negeri memandang serius perkara ini. Kita berusaha untuk memastikan suatu kaedah baharu agar dapat menyelesaikan masalah banjir yang berlaku di kawasan Masjid Tanah dan
Melaka secara keseluruhannya,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, sekurang-kurangnya 248 mangsa daripada 48 keluarga terjejas akibat banjir yang melanda 14 kawasan sekitar Masjid Tanah, berikutan hujan lebat berterusan sejak pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Alor Gajah memaklumkan, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terlibat adalah Lendu, Ayer Limau dan Taboh Naning.

Setakat pukul 7.30 malam tadi, sebanyak enam PPS telah dibuka iaitu PPS Balai Raya Paya Lebar, PPS Perkim Masjid Tanah, PPS Balai Raya Ayer Paabas, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Jernih dan PPS Taman Dewan Masjid Ar-Rasyidin.

Kawasan yang terjejas adalah Kampung Paya Lebar, Kampung Ramuan China Besar, Kampung Bukit Apit, Kampung Ayer Limau, Kampung Sungai Jernih dan Kampung Lekok.

Turut dinaiki air adalah Kampung Paya Rumput, Kampung Lubok China, ⁠Taman Masjid Tanah Ria, Taman Bandar Baru Masjid Tanah, Kampung Rantau Panjang, Kampung Berisu, Taman Awan Biru, Taman Seri Bayu 2 dan serta Taman Seri Aman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN