MPJ perlu RM2.33 juta selesai isu kawah di Taman LKP

MPJ perlu RM2.33 juta selesai isu kawah di Taman LKP

BEBERAPA penduduk meninjau hakisan tanah yang membentuk kawah di Taman LKP, Jasin, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Kerja-kerja baik pulih hakisan tanah di kawasan tadahan di Taman Lipat Kajang Perdana (LKP) di sini, belum dapat dilakukan kerana masih menunggu kelulusan peruntukan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Rosemanizam Mohammed Nalif berkata, pihaknya telah memohon peruntukan berjumlah RM2.33 juta daripada kerajaan Persekutuan sejak setahun lalu, untuk menangani masalah pembentukan kawah seluas 2,400 meter persegi dengan kedalaman 10 meter itu.

Beliau menjelaskan, MPJ bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengadakan lawatan siasatan di tapak runtuhan seterusnya membuat tiga permohonan peruntukan antara Julai 2022 dan terbaharu pada 3 Mac lalu.

“Permohonan itu disertakan bersama lampiran laporan awal pemeriksaan cerun di Pusat Koreksional Jasin memandangkan kawasan runtuhan melibatkan tanah Jabatan Penjara yang disediakan oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR bertarikh 5 Oktober 2022.

“Nilai kos pembaikan yang dimohon kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjumlah RM2,330,000 kerana agensi negeri seperti MPJ, JKR dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tidak mempunyai peruntukan sebesar itu.

“Bagaimanapun sehingga kini MPJ masih belum menerima sebarang kelulusan permohonan, namun kita akan menutup sementara kawasan cerun itu demi keselamatan penduduk,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kawasan tadahan yang sebelum ini menjadi sistem saliran air hujan di Taman LKP, kini bertukar menjadi kawah seluas 2,400 meter persegi dengan kedalaman 10 meter.

Perubahan muka bumi akibat hakisan tanah kritikal itu menjadi mimpi ngeri buat kira-kira 2,000 penduduk perumahan berkenaan, terutama kepada 200 penduduk di Jalan LKP 8 yang tinggal berhadapan dengan kawah tersebut.

Tambah Rosemanizam, pihaknya memohon maaf atas sebarang kesulitan dan berharap penduduk dapat memberikan kerjasama dan ruang sehingga permasalahan itu diatasi. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.