Wang simpanan hangus bersama rumah kongsi

Wang simpanan hangus bersama rumah kongsi

KEADAAN rumah kongsi yang didiami 100 pekerja asing hangus dalam kejadian berhampiran Taman Bertam Impian, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang buruh warga Indonesia tidak dapat menahan sebak selepas wang simpanan RM5,000 hasil penat lelah bersama isteri, hangus dengan rumah kongsi didiami mereka dalam kebakaran berhampiran Taman Bertam Impian di sini, petang kelmarin.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, Herman, 46, berasal dari Madura, Indonesia berkata, tragedi yang menimpa kira-kira 100 buruh warga asing di situ berlaku dalam sekelip mata, lantas menyebabkan mereka tidak dapat menyelamatkan barangan berharga seperti pasport, wang simpanan dan gaji yang baharu diterima.

Jelasnya, ketika kejadian pada pukul 6.10 petang, mereka sedang bekerja di tapak pembinaan dan hanya menyedari api mula marak apabila terdengar bunyi letupan dari arah rumah kongsi.

“Semua pekerja yang tinggal di rumah kongsi ini tak mampu berbuat apa-apa, hanya mampu melihat dari jauh api memusnahkan segalanya termasuk dokumen penting, wang simpanan dan gaji bulanan kami.

“Saya terkelu tak mampu hendak menahan air mata yang mengalir sendiri. Wang simpanan bersama isteri yang bekerja sebagai tukang masak kini sudah tiada.

“Kami ikat perut dan berjimat untuk mengumpulnya selama dua bulan bagi kegunaan anak yang berumur 17 tahun di Madura. Permit kerja dan pasport pun sudah hangus, bagaimanapun kami tetap bersyukur kerana kebakaran berlaku semasa sedang bekerja,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu, Pegawai Bomba Kanan II Mohamed Azuani Mat Yusuf berkata, seramai 14 anggota dari BBP Tangga Batu, BBP Cheng dan BBP Ayer Keroh telah dikejarkan ke lokasi bersama tiga jentera untuk operasi pemadaman.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 7.31 malam.

“Setiba di lokasi kita dapati rumah kongsi berkeluasan 3,962 meter persegi yang didiami kira-kira 100 buruh warga asing telah terbakar sebanyak 95 peratus.

“Kami berdepan dengan cabaran untuk mendapatkan sumber air dan terpaksa berulang alik kira-kira satu kilometer demi mendapatkan bekalan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya