KUALA LUMPUR: UMNO terus berpegang teguh kepada pendekatan politik khidmat di kawasan bandar dengan memberi keutamaan kepada usaha membantu rakyat dalam pelbagai aspek kehidupan walaupun parti itu tidak menang di kawasan berkenaan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, tumpuan terhadap politik khidmat amat penting untuk memastikan perjuangan UMNO kekal relevan dan berakar umbi dalam kalangan masyarakat bandar.
Katanya, pelbagai inisiatif yang menyentuh keperluan rakyat seperti usaha membasmi kemiskinan, menyediakan akses kepada pendidikan dan membantu golongan memerlukan perlu diteruskan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab parti.
“Politik UMNO di kawasan bandar ialah politik khidmat. Kita tahu ada kawasan-kawasan tertentu, contohnya dalam usaha membasmi kemiskinan, menyediakan peluang pendidikan, dan membantu mereka yang memerlukan dalam banyak perkara.
“Jadi, hal-hal inilah yang kita perlu teruskan kerana politik khidmat itu sangat mustahak kepada parti seperti UMNO.
Meskipun di kawasan bandar kita tidak bertanding atau mungkin tidak menang, kualiti khidmat tetap diteruskan. Ini sebabnya ia menjadi teras utama UMNO iaitu bersatu, bersedia dan berkhidmat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa 2025 di Hotel dan Residensi UTM, di sini hari ini.
Zambry yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional berkata, UMNO tidak hanya menumpukan kepada soal pilihan raya semata-mata, sebaliknya sentiasa mencari ruang untuk berbakti kepada rakyat melalui pelbagai saluran termasuk kerjasama dengan parti komponen.
Katanya, pendekatan itu membuktikan bahawa UMNO kekal relevan dan tidak pernah mengabaikan rakyat walaupun tidak berada dalam posisi menang atau memegang kuasa di kawasan tertentu.
“Di beberapa kawasan bandar termasuk di Wilayah Persekutuan, walaupun kita tidak bertanding atau beri laluan kepada rakan komponen, khidmat kepada rakyat tetap diteruskan. Inilah kekuatan UMNO yang sentiasa bersama rakyat dalam apa jua keadaan,” katanya. – UTUSAN










