KULAI: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan kerjasama Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. (Huawei Malaysia) memperkukuh jalinan antara pendidikan dan industri melalui pelaksanaan Smart Classroom dan Digital Classroom di enam kampus Kolej Teknologi Termaju JTM (ADTEC JTM).
Menurut Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, inisiatif itu bertujuan mempertingkatkan proses pengajaran dan pembelajaran melalui persekitaran hibrid menggunakan Learning Management System (LMS) bersepadu serta papan pintar interaktif Huawei IdeaHub.
Katanya, projek rintis proof-of-concept (POC) ini melibatkan kelas pintar di ADTEC JTM Kampus Senai, di sini serta kelas digital di ADTEC JTM Kampus Pasir Gudang,Johor Bahru; Pedas, Negeri Sembilan; Selandar, Melaka; Perai, Pulau Pinang dan Jerantut Pahang.
“Maklum balas daripada para pengajar dan pelajar amat memberangsangkan, dan kami sangat teruja dengan tahap penglibatan yang ditunjukkan di lapangan.
“Keenam-enam lokasi model PoC bagi Smart Classroom dan Digital Classroom yang telah siap kini dibuka kepada agensi dan institusi latihan lain bagi tujuan perkongsian ilmu serta menggalakkan penerapan model ini secara lebih meluas dalam ekosistem TVET,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pada pemberita selepas Majlis Peluncuran Inisiatif Bilik Kuliah Pintar ‘Smart Classroom’ TVET di ADTEC JTM Kampus Senai di sini, hari ini.
ADTEC JTM Kampus Senai telah dikenalpasti sebagai pusat rujukan ADTEC JTM. Setakat ini, lebih 41 orang tenaga pengajar di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM) telah menerima latihan dikendalikan oleh Huawei Malaysia.
Steven Sim berkata, pelaksanaan PoC selama enam bulan sehingga Disember depan memainkan peranan penting dalam memajukan usaha pemodenan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
“PoC bagi inisiatif Smart Classroom dan Digital Classroom akan memberikan ruang yang mencukupi kepada pihak ADTEC JTM untuk menjalankan penilaian secara menyeluruh terhadap keberkesanan inisiatif tersebut.
“Penilaian ini merangkumi analisis terhadap indikator prestasi utama (KPI), pengumpulan maklum balas daripada tenaga pengajar serta penyediaan syor strategik bagi pelaksanaan berfasa Smart Classroom di kampus-kampus ADTEC JTM yang terpilih pada masa hadapan,” katanya.
Katanya, Huawei Malaysia akan meneruskan komitmen mereka untuk melatih lebih ramai tenaga pengajar TVET bagi membekalkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan bagi menyampaikan pengajaran secara pintar dan berkesan.
Tambahnya, kelas pintar ini menyokong perkongsian kandungan rentas kampus, pengajaran hibrid, rakaman masa nyata dan main semula demonstrasi kemahiran praktikal.
“Ia juga membolehkan pengurusan bahan pengajaran secara berpusat, sekali gus memastikan konsistensi kandungan di seluruh ADTEC JTM,” katanya. – UTUSAN










