ALOR GAJAH: Seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Tuah di sini maut selepas diseret sejauh 100 meter oleh sebuah lori dalam nahas yang berlaku di Kilometer 219, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) (arah utara) berhampiran Alor Gajah, awal pagi tadi.
Mangsa, Nor Shah Asrap Reduan mengalami kecederaan pada seluruh anggota badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha sedang dalam perjalanan ke rumah abangnya di Bangi, Selangor.
Katanya, setiba di lokasi motosikal mangsa telah melanggar bahagian belakang sebuah lori dari arah sama yang membawa muatan plastik ke Pulau Pinang.
“Semakan polis mendapati, mangsa tidak memiliki lesen memandu. Ketika kejadian mangsa dan abangnya yang menunggang motosikal berasingan dalam perjalanan menuju ke Bangi.
“Mangsa kemudian telah jatuh di lorong paling kiri sebelum datang sebuah lagi lori membawa muatan botol plastik gagal mengelak, lalu melanggar dan menyeretnya sejauh kira-kira 100 meter.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah seluruh anggota badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Arshad, saringan air kencing terhadap kedua-dua pemandu lori didapati negatif dadah manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.
“Terdapat kesan calar dan darah atas permukaan jalan. Keadaan cuaca semasa kejadian adalah baik dan didapati kawasan gelap tanpa lampu jalan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN