Dua pemotong rumput cedera dilanggar pacuan empat roda

Dua pemotong rumput cedera dilanggar pacuan empat roda

LOKASI sebuah pacuan empat roda yang merempuh dua buah kereta dan pemotong rumput di Taman Ria, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Dua pemotong rumput syarikat E-Idaman Sdn.Bhd (EISB) cedera akibat dirempuh sebuah kenderaan yang terbabas dalam kejadian langgar lari di Jalan 3, Taman Ria Jaya, di sini pagi ini.

Dalam kejadian pada pukul 9.40 pagi itu, mangsa, Mohd. Hafizan Derani, 24, dan Muhd. Afiq Haikal Rustam, 22, cedera di lutut dan pinggang akibat dirempuh kereta jenis Mitsubishi Triton dipandu seorang lelaki.

Penyelia EISB Kawasan Taman Ria, Roshidi Ismail berkata, kedua-dua mangsa sedang memotong rumput di bahu kiri jalan ketika kejadian, manakala dua lagi rakan mereka berada di sebelah kanan lorong itu.

“Saya berada berdekatan lokasi kejadian melihat kenderaan berkenaan dipandu laju dari arah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Ria dan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh dua buah kereta milik penduduk yang diletak di hadapan rumah di lorong ini.

“Selepas merempuh Perodua Kancil dan Perodua Viva, pemandu pacuan empat roda itu cuba melarikan diri sehingga bertindak merempuh dua pekerja EISB di bahu kiri jalan menyebabkan mereka mengalami kecederaan,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Menurut Roshidi, lelaki itu kemudian terus memecut laju dan enggan memberhentikan kenderaan terbabit walaupun dua lagi rakan setugas mangsa cuba menahannya dan memaklumkan mereka yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan yang dihubungi berkata, pihaknya telah menerima laporan kejadian daripada dua pemilik kenderaan yang dirempuh suspek.

“Saya turut difahamkan kedua-dua pekerja EISB yang cedera dalam kejadian itu akan membuat laporan polis selepas selesai mendapatkan rawatan di HSAH. Kes akan diklasifikasikan kemudian selepas kita merakam keterangan daripada mangsa yang cedera,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya