Biawak besar, kicauan burung petunjuk penemuan Steven

Biawak besar, kicauan burung petunjuk penemuan Steven

AHLI keluarga Steven Tan Kim Huat menemui Jas (kanan) dan Eddie (kiri) di kaki Bukit Beruang, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kemunculan dua ekor biawak bersaiz besar yang dianggap luar biasa dan kicauan kuat sekawan burung menjadi antara petanda awal kepada penemuan mayat seorang lelaki berusia 45 tahun, Steven Tan Kim Huat yang hilang ketika mendaki Bukit Beruang di sini, sejak Selasa lalu.

Tubuh badan mangsa ditemui berhampiran anak sungai di trek pendakian terbiar yang dikatakan sudah lama tidak digunakan kira-kira pukul 10.25 pagi tadi, oleh dua pengamal paranormal.

Salah seorangnya, Jas atau lebih dikenali dengan nama Jas Inanansad Solo berkata, mereka memulakan pencarian pada pukul 8 pagi dan penampakan biawak besar melintas secara tiba-tiba di kawasan berkenaan akhirnya membawa kepada penemuan tersebut.

“Kalau tadi sebelum kita jumpa, ada beberapa kejadian yang pelik. Pertama kita jumpa biawak besar berjalan, lebih kurang beberapa minit jumpa lagi biawak. Kita perhatikan sama ada biawak yang sama atau tidak.

“Biawak kalau dia tercium sesuatu, contoh kalau ada bau dia akan datang mencari. Kita teruskan pencarian sambil selawat, azan. Kita baca apa yang kita tahu, lebih kurang beberapa minit macam dekat dengan lokasi, kita jumpa ada bunyi kicauan burung atas pokok lebih kurang 30 saat.

“Bunyi riuh, apabila kita turun bawah sedikit lebih kurang 200 meter ke bawah saya nampak botol lama, botol rare, saya hendak ambil sebab botol minuman lama. Saya pusing kepala, elok dekat tepi kita nampak jenazah mangsa lebih kurang 10 meter,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian bersama rakannya yang juga pengamal paranormal, Eddie atau Eddie Pemburu Malam Menjelma.

KENDERAAN polis membawa turun mayat Steven Tan Kim Huat dari puncak Bukit Beruang, Melaka. – UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) Steven telah dihentikan, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pos kawalan tempat kejadian (PKTK) telah ditutup pukul 3 petang, selepas operasi yang dijalankan hampir tiga hari itu gagal menemukan sebarang petunjuk.

Dalam pada itu, Jas dan Eddie turut mengingatkan orang ramai agar tidak mendaki Bukit Beruang selepas pukul 4 petang, kerana ia memerlukan antara dua hingga tiga jam untuk sampai ke puncak.

Jelas mereka, perjalanan turun dari puncak bukit selepas pukul 6 petang dianggap amat berisiko memandangkan keadaan trek yang gelap ketika itu dan memungkinkan pendaki kehilangan arah atau terjatuh akibat tergelincir.

“Untuk kawasan ini sekitar pukul 4 petang kami nasihat jangan mendaki. Sebab kawasan ini malam memang gelap. Kita memang tidak boleh menafikan benda-benda mistik macam bunian, tetapi kita jangan terlalu taksub,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.