ALOR GAJAH: Seorang bayi berusia dua bulan maut selepas dipercayai tertindih oleh abangnya ketika sedang tidur di rumah mereka di Taman Bidara Setia di sini, semalam.
Ketika kejadian, keluarga berkenaan sedang tidur dan hanya menyedari insiden malang itu pada waktu pagi apabila Maryam Sofea Meor Syazalee dilihat kaku, tidak memberi sebarang respons.
Bapanya, Meor Syazalee Sha@Meor Sha, 38, berkata, sebelum kejadian bayi berkenaan tidur bersamanya dan isteri dalam bilik utama, manakala tiga anak lelaki yang lain masing-masing berusia sembilan, enam dan lima tahun tidur di bilik berasingan.
“Apabila saya dan isteri terjaga pagi itu (semalam), kami lihat anak yang berusia lima tahun tidur di sebelah Maryam Sofea.
“Kami hanya menyedari keadaan anak bongsu selepas dia tidak bergerak seperti kebiasaan. Kami bergegas membawanya ke hospital, namun disahkan telah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Alor Gajah di sini, hari ini.
Tambah Meor Syazalee, mereka sekeluarga reda dengan tragedi yang menimpa itu.
Jelasnya lagi, jenazah Maryam Sofea akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Bidara Setia selepas selesai proses bedah siasat.
“Kami reda dengan apa yang berlaku, namun sudah pasti ada kesedihan yang ditanggung. Saya anggap ujian kepada kami sekeluarga ini kecil berbanding insan lain.
Saya berharap masyarakat tidak melemparkan sebarang komen sensitif yang akan memberikan kesan emosi kepada kami sekeluarga,” ujarnya sayu.
Setakat pukul 12.30 tengah hari tadi, keluarga mangsa masih berada di Unit Forensik bagi menunggu bedah siasat selesai dijalankan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian, namun enggan mengulas lanjut sehingga laporan bedah siasat dikeluarkan. – UTUSAN