Penduduk Felda Bukit Sagu 1 bimbang gajah liar ceroboh kampung - Utusan Malaysia

Penduduk Felda Bukit Sagu 1 bimbang gajah liar ceroboh kampung

PENDUDUK risau dan bimbang tindakan sekumpulan gajah liar yang menceroboh kawasan perumahan rumah di Felda Bukit Sagu 1 di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Penduduk Felda Bukit Sagu 1 di sini, terkejut dan bimbang dengan kehadiran sekumpulan gajah liar yang menceroboh penempatan mereka di sini malam semalam.

Tinjauan mendapati kehadiran haiwan itu turut memusnahkan tanaman penduduk yang berada di sekitar kawasan perumahan mereka.

Haiwan liar itu dipercayai memasuki kampung tersebut menjelang subuh iaitu sekitar pukul 4 pagi.

Penduduk, Abu Bakar Nor Mohamed, 65, berkata, mereka pernah menerima ancaman sekumpulan gajah beberapa tahun lalu di dalam kawasan ladang.

Menurutnya, ini kali pertama kumpulan gajah datang menyerang tanaman berdekatan rumah.

“Selama lebih 40 tahun menetap di sini (Felda Sagu), pertama kali haiwan terbabit datang begitu hampir.

“Saya sedar pada pukul 5.40 pagi untuk solat Subuh dan saya terdengar bunyi bising di belakang rumah dan berhampiran bilik air rumah saya, ingat bunyi orang kutip sampah.

“Selepas bunyi bising hilang sekitar pukul 7 pagi, saya keluar rumah dan lihat semua tanaman belakang rumah musnah. Banyak ketul najis dan kesan tapak kaki gajah ditemukan di luar kawasan rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di Felda Sagu 1 di sini semalam.

Dalam pada itu, Mohd. Helmi Rosli, 25, berkata, kejadian itu disedari isterinya apabila terdengar bunyi seperti ada sesuatu yang sedang memusnahkan pokok tebunya.

Jelasnya, dia tidak memberanikan diri untuk melihat di luar rumah kerana ketika kejadian sekitar pukul 5.30 pagi itu, keadaan di luar masih gelap.

“Namun saya cuba membuka tingkap rumah dan nampak dalam samar-samar itu, semua pokok tebu sudah dilenyek dan pokok kelapa pula tumbang serta bersepah-sepah,” katanya.

Seorang lagi penduduk dikenali sebagai Amtingah Kasbullah, 65, berkata, ketika kejadian dia tidak berada di rumahnya kerana tidur di rumah kawan.

“Malam tadi anak tidak dapat teman tidur jadi saya tumpang tidur rumah kawan. Pagi ini sekitar pukul 7 pagi saya terkejut tengok laman belakang rumah saya menjadi terang.

“Pagar belakang rumah rosak. Kemudian saya dapat tahu dari jiran gajah datang menyerang pagi tadi. Mujurlah ketika kejadian saya tiada di rumah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya