BANGKOK: Sebuah insiden luar biasa berlaku di timur laut Thailand apabila seekor gajah liar tiba-tiba muncul di sebuah kedai runcit, dengan santai menikmati makanan manis sebelum beredar tanpa sebarang kekecohan.
Gajah jantan yang dinamakan Plai Biang Lek, terkenal dalam kalangan penduduk tempatan berhampiran taman negara Khao Yai, kira-kira 200 kilometer dari Bangkok, kerana tabiatnya yang gemar merayau ke kawasan penempatan berhampiran.
Sebelum ini, gajah itu pernah menceroboh sebuah kampung berdekatan dan menyerbu sebuah kedai makan kecil untuk mendapatkan makanan.
Namun, pencerobohan terbaharu pada 2 Jun lalu merupakan kali pertama dia memasuki sebuah kedai runcit.
Video dan gambar yang tular di media sosial menunjukkan gajah itu berada di dalam kedai yang sesak, sambil menikmati snek dengan kepalanya hampir mencapai siling.
Pemilik kedai, dikenali sebagai Ploy, memberitahu media Thailand bahawa beliau sedang melayani pelanggan ketika gajah itu masuk ke dalam premis pada pukul 3 petang, menyebabkan orang ramai lari menyelamatkan diri.
Tanpa gentar, gajah itu terus mencari makanan dan memakan snek Thai serta telur ayam, lapor akhbar harian, Khaosod English.
Laporan itu mendakwa, pemilik kedai mengalami kerugian sebanyak 1,000 baht (RM130.48) akibat insiden tersebut.- AGENSI










