Enam kenderaan rosak dihempap pokok di sekitar Selangor - Utusan Malaysia

Enam kenderaan rosak dihempap pokok di sekitar Selangor

BOMBA mengalihkan pokok tumbang di sekitar Selangor malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Empat kejadian pokok tumbang dilaporkan berlaku di sekitar Gombak dan Ampang susulan hujan lebat malam tadi sehingga merosakkan enam buah kenderaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, dalam kejadian pertama, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.07 malam membabitkan pokok tumbang sehingga menghalang jalan besar menghala ke Rawang.

Katanya, panggilan kedua diterima pada pukul 8.35 malam dalam kejadian berhampiran masjid Al- Mardiah di Taman Melawati, Ampang di sini.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kita mendapati tiga batang pokok ketinggian 12 meter telah tumbang menghempap lima buah kenderaan yang diletakkan di tepi jalan di kawasan perumahan.

“Bagaimanapun kejadian tidak melibatkan mangsa serta struktur rumah,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Dalam kejadian berasingan Jalan Kolam Air, Taman Melawati, Hafisham berkata, pihak bomba menerima panggilan 9 malam melibatkan pokok tumbang sehingga menghalang jalan.

“Kerja-kerja memotong dan mengalihkan sisa pokok sedang dilakukan.

“Kejadian pokok tumbang turut berlaku di blok di Ibu pejabat Polis (IPD) Daerah Gombak sehingga menghempap sebuah kereta namun tiada sebarang kecelakaan jiwa dalam insiden tersebut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN