30 buah rumah rosak ditimpa ribut - Utusan Malaysia

30 buah rumah rosak ditimpa ribut

NORAFIZAH Mohd. Nor mengemas rumahnya selepas kejadian ribut di Kampung Bukit Kolam, Ajil, Hulu Terengganu, hari ini. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Lebih 30 buah rumah mengalami kerosakan di bahagian bumbung dalam kejadian ribut di Kampung Bukit Kolam, Ajil di sini, hari ini.

Kejadian ribut yang berlaku pada pukul 3.30 petang itu juga menyebabkan banyak pokok tumbang sehingga menghalang lalu lintas selain Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ajil turut terjejas.

Seorang penduduk, Rosidah Tawang, 56, berkata, kejadian ribut itu berlaku dalam sekelip mata ketika dia bersama lima ahli keluarga termasuk cucu berada dalam rumah.

“Kami sekeluarga berehat dalam rumah sebelum  dikejutkan angin kencang, kilat serta hujan lebat. Saya bagaikan hilang arah dan kami duduk berdekatan, berpegangan antara satu sama lain bagi memastikan semua empat cucu selamat.

“Ketika suasana panik itu juga, kami rasakan seperti gempa bumi setelah sebatang pokok durian tumbang hempap bahagian ruang tamu rumah hingga ranapkan dinding. Syukur semuanya selamat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah ibu tunggal ini lagi, kejadian ribut tersebut kali pertama sejak menetap di kampung itu sejak 30 tahun lalu.

“Sebanyak tujuh batang pokok termasuk rambutan dan nangka berdekatan rumah saya turut tumbang,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Norafizah Mohd Nor,39, pula memberitahu, dia terkejut apabila melihat putaran kepala angin sebelum bumbung rumahnya mengalami kerosakan diterbangkan angin kencang.

Katanya, ketika kejadian dia bersama tujuh ahli keluarganya berada di rumah dalam keadaan ketakutan.

“Kami erkumpul di bahagian dapur dan hanya mampu melihat lebih 10 keping atap di bahagian ruang tami rumah dan bilik diterbangkan angin,” tambahnya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN