Tangan putus kena mesin pemotong kayu - Utusan Malaysia

Tangan putus kena mesin pemotong kayu

AZIZAH Ariffin menunjukkan tangan kiri adiknya yang putus terkena mesin pemotong kayu ketika sedang bekerja di kilang perabot, di Kampung Gelugor, Ulu Kusial, Tanah Merah. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Seorang lelaki hanya mampu meraung kesakitan selepas tangan kirinya putus terkena mesin pemotong kayu di sebuah kilang perabot di Kampung Gelugor, Ulu Kusial di sini, kelmarin (Ahad).

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang, tangan kiri Rosli Ariffin, 44, putus hingga bahagian lengan.

Menceritakan semula insiden itu kepada Utusan Malaysia, Rosli yang masih bujang berkata, sebelum kejadian, dia sedang menarik keluar kayu dari mesin tersebut sambil dipantau seorang lagi pekerja lain.

“Tanpa disangka, tangan kiri saya tergelincir masuk ke dalam mesin yang sedang bergerak. Saya cuba menariknya, namun, terkejut apabila melihat tangan sudah putus.

“Ketika itu darah keluar membuak-buak dan saya hanya mampu meraung dan meminta tolong dalam keadaan terbaring sambil menahan sakit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gelugor hari ini.

Selepas kejadian itu, Rosli dibawa ke Klinik Kesihatan Gual Ipoh, di sini sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana kecederaan parah dialaminya itu.

Kata Rosli, dia sudah lebih 30 tahun bekerja di kilang kayu dan tidak menyangka bakal ditimpa insiden sedemikian hingga menjadi cacat.

“Doktor memberitahu tangan yang putus sudah tidak boleh disambung semula. Saya sedih kerana jadi cacat namun reda dengan ketentuan Allah SWT. Sekurang-kurangnya saya masih bernafas.

“Setakat ini, saya tidak boleh bekerja dan tidak tahu apa nasib saya selepas ini. Saya terpaksa mengharapkan bantuan adik beradik terutama kakak, Azizah dan adik, Mohd. Azman yang menjaga saya,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi kakak kepada Rosli iaitu Azizah di talian 0179694374. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya