Bot karam: Jumlah mangsa hilang kekal 16 orang - Utusan Malaysia

Bot karam: Jumlah mangsa hilang kekal 16 orang

SEORANG anggota APM meninjau kawasan pencarian mangsa bot karam di perairan Tanjung Balau di Kota Tinggi, Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Pencarian hari keempat operasi menyelamat bot karam diteruskan dengan melibatkan dua pesawat udara daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Tanjung Balau, di sini.

Empat aset laut daripada Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) turut meronda sekitar kawasan pencarian yang diperluas kepada 76.5 batu nautika persegi di darat dan 106.02 batu nautika persegi bagi pencarian di laut.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kawasan pencarian setakat ini seluas 182.5 batu nautika persegi meliputi Tanjung Balau hingga ke Sungai Rengit. Sehingga pukul 8 pagi ini, tiada penemuan baharu direkodkan selepas penemuan satu mayat pagi semalam.

“Jumlah mangsa yang disyaki hilang masih kekal 16 orang. Pencarian di pesisir pantai diteruskan oleh agensi sahabat daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), PDRM dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM),” kata Maritim Malaysia dalam kenyataan hari ini.

Tambah agensi itu, jumlah keseluruhan anggota penyelamat di darat, udara dan laut adalah seramai 77 orang.

Sementara itu, pencarian di laut masih berhadapan kesukaran berikutan cuaca kurang baik masih berterusan dengan ombak besar setinggi tiga hingga lima meter yang turut menghalang jarak penglihatan.

“Komuniti maritim terutamanya nelayan dinasihatkan menangguhkan aktiviti di laut sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk, sentiasa peka kepada amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi terutamanya kepada bot-bot kecil,” katanya.

Dalam kejadian pada Rabu, bot pancung membawa 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia terbalik dan karam akibat cuaca buruk ketika menghampiri Pantai Tanjung Balau yang disyaki menjadi lokasi pendaratan.

Seramai 21 migran kini disahkan terkorban termasuk seorang yang meninggal dunia di hospital setelah berada dalam keadaan kritikal apabila terselamat dalam tragedi terbabit. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya