GEORGETOWN: Dua nelayan terpaksa berpaut pada bot mereka yang terbalik selama kira-kira empat jam sebelum diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang semalam.
Kedua-dua nelayan itu diselamatkan Kapal Maritim (KM) KIMANIS yang melakukan rondaan di kedudukan kira-kira 1.9 batu nautika tenggara Pulau Kendi, di sini pukul 7 malam.
Pengarah Maritim Malaysia negeri, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, KM Kimanis yang sedang melaksanakan rondaan rutin Op Benteng/Op Pertiwi mengesan dua nelayan berkenaan sedang berpaut pada bot yang terbalik dan meminta bantuan.
“Bot yang berpangkalan di Tanjung Piandang, Perak itu mengalami kebocoran semasa sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.
“Nelayan berkenaan gagal mengepam keluar air yang memasuki bot seterusnya menyebabkan bot terbalik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa iaitu S. Manimaran, 50, dan Azhar Azizi Halim, 30, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan serta berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan pulang.
“Mangsa dibawa pulang ke Tanjung Piandang oleh pemilik bot yang tiba di tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau meminta orang awam melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146. – UTUSAN ONLINE