KLANG: Seorang pejalan kaki wanita maut akibat dilanggar sebuah kenderaan ketika melintas jalan di Batu 2 Jalan Kapar di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 40-an sedang melintas berdekatan sebuah stesen minyak di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, siasatan awal pihaknya mendapati wanita tersebut tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
“Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang melintas di jalan arah Klang ke Kapar berkenaan.
“Mangsa kemudian dilanggar sebuah kenderaan tidak dikenal pasti yang meninggalkan lokasi kemalangan itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke hospital berdekatan untuk bedah siasat.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan belum ada individu tampil membuat laporan setakat ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Ujar Nurulhuda, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu dimohon tampil bagi membantu siasatan.
“Mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Awangku Mohd. Syahrhonie Awangku Adnan di talian 013-3463138 atau Kaunter Aduan Trafik iaitu 03-32902222 (sambungan 3063),” katanya. -UTUSAN ONLINE










