Lelaki maut tersepit dalam kemalangan - Utusan Malaysia

Lelaki maut tersepit dalam kemalangan

KEADAAN kenderaan pacuan empat roda dinaiki seorang lelaki yang meninggal dunia bersama isterinya yang cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 1 Jalan Mersing - Endau berhampiran Pekan Endau, Mersing di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Seorang lelaki maut akibat cedera parah selepas tersepit dalam kenderaan selepas terlibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 1 Jalan Mersing – Endau berhampiran Pekan Endau, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.55 pagi itu, mangsa, Ali K. Moideen Kutty, 59, disahkan maut di lokasi kejadian manakala isterinya, A’mariah Harun, 53, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Cyril Edrward Nuing berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso yang dipandu lelaki berusia 32 tahun bersama-sama seorang kelindan yang menuju ke Tanjung Gemok, Rompin di Pahang.

“Ketika melalui tempat kejadian di jalan selekoh, pemandu lori dipercayai hilang kawalan lalu melanggar batu tengah pembahagi jalan sebelum memasuki ke laluan bertentangan.

“Ekoran itu, lori berkenaan telah berlanggar dengan sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dinaiki mangsa dan isterinya yang dalam perjalanan dari arah rumah di Endau menuju ke Penyabong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Cyril Edrward, lori tersebut juga telah melanggar sebuah kereta yang diletakan di bahu jalan berhampiran gerai makan.

Akibat pelanggaran tersebut, pemandu pacuan empat roda telah tersepit di tempat duduk pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah.

Manakala isterinya yang berada di tempat duduk penumpang hadapan mengalami sakit di bahagian dada dan telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Endau.

“Sementara pemandu dan kelindan lori pula mengalami sakit ringan. Susulan itu pemandu lori telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

“Mayat mangsa telah dirujuk ke Hospital Mersing bagi tujuan bedah siasat setelah keputusan ujian calitan Covid-19 diperolehi.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kematian,” katanya.

Sementara itu, saksi yang melihat kejadian diminta tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd. Fairuz Abd. Malek di talian 07-799 2222.

Dalam pada itu, seramai enam anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Endau diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Amir Hamzah Aris turut dikejarkan ke lokasi kejadian.

Amir Hamzah berkata, tindakan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas Road Traffic Accident (RTA) mengambil masa kira-kira 18 minit. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya